Pegawai Felda ditahan, dedah sejak 2 tahun lalu

Kami mengalu-alukan perkembangan terbaharu penangkapan 5 individu termasuk dua bekas pegawai kanan Felda berkaitan kes skandal ikan sturgeon susulan pendedahan yang kami buat sejak 2 tahun lalu. Akhir tahun 2016, Laporan Ketua Audit Negara telah mengesahkan berlaku penyelewengan projek ‘Felda Carviartive Blue Drem Part’ di Kuala Tahan, Pahang.

Laporan Ketua Audit Negara 2015 mendedahkan Felda mengalami kerugian lebih RM45 juta dalam usahasama penternakan ikan dengan salah sebuah anak syarikatnya.

Menurut laporan itu, Felda Caviartive Sdn Bhd (FCSB) membelanjakan RM47.61 juta dalam projek ternakan ikan tetapi pulangannya termasuk dari penternakan sturgeon dan pemindahan teknologi tidak disedari susulan penggantungan projek tersebut.

FCSB menandatangani kontrak bernilai AS$45 juta (RM146.25 juta) dengan dua syarikat I2C Hassed Co Ltd dan I2C Hassed (M) Sdn Bhd yang melebihi had RM110 juta yang diluluskan lembaga pengarah Felda.

“Syarat perjanjian perkhidmatan pemindahan teknologi dan perjanjian kontrak reka bentuk binaan yang ditandatangani antara FCSB dan syarikat yang dilantik tidak melindungi kepentingan FCSB,” kata Ketua Audit Negara.

Perkembangaan siasatan kes ini kami harap bukan sahaja melibatkan pegawai-pegawai tetapi perlu menyeluruh kepada Pengerusi Felda ketika itu. 

Alasan projek ini di luar pengetahuan Lembaga Pengarah boleh dipertikaikan kerana ketika kami turun membantah projek ini pihak pengurusan Felda telah memanggil ketua-ketua peneroka negeri Pahang dan wartawan untuk memberi penjelasan lanjut projek ini ketika bantahan berlaku.

Kami berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan ini sehingga mereka yang terbabit dibawa ke muka pengadilan dan kerugian duit Felda ini dapat dikembalikan.

Naraza Muda
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat
24 Januari 2017 – HARAKAHDAILY 24/1/2017

Advertisement