Perutusan Maulid Nabi 1438H Mursyidul Am PAS

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Advertisement

Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Tidak akan sesat selama-lamanya jika kamu berpegang dengan keduanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya. (Riwayat Imam Malik)

 

PADA hari ini umat Islam di seluruh dunia meraikan Sambutan Maulid Nabi SAW sebagai menzahirkan kecintaan kita semua kepada Penghulu Segala Nabi, Nabi Muhammad SAW. Kelahiran Baginda dalam bulan Rabi’ul Awal Tahun Gajah merupakan satu cahaya yang menerangi seluruh kegelapan alam. Kita sangat bertuah kerana dipilih menjadi umat Nabi Muhammad SAW, sehingga kita mendapat nikmat iman dan Islam pada hari ini. 

Dilahirkan dalam sebuah masyarakat yang penuh kesesatan dan dunia yang menjadi perebutan kuasa besar – Rom dan Parsi – telah memberi isyarat betapa kehadiran Baginda adalah untuk membawa rahmat, cahaya hidayah dan agama yang akan mengembalikan semula manusia kepada Sang Pencipta. Dalam tempoh 23 tahun, Baginda telah berjaya mengubah umat Arab Jahilliyah menjadi ‘Khair Ummah.’ Demikianlah besarnya kesan akibat kelahiran Sang Nabi SAW ini.

Sekarang, setelah 1348 tahun Baginda mendirikan negara di Madinah untuk menyempurnakan ketaatan kepada Allah, segalanya telah berubah. Kewafatan Baginda telah membawa semula manusia kepada kesesatan agama dan ideologi ciptaan manusia. Umat Islam yang bertebaran di seluruh dunia menjadi seperti buih di tengah lautan kerana mereka meninggalkan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Lihatlah apa yang terjadi kepada umat Islam di Palestin dan Rohingya, ditindas tanpa pembelaan!

Bagi menguatkan semula umat yang telah terbabas dari al-Quran dan Sunnah inilah, para ulamak telah menubuhkan PAS pada 1951 dengan meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai sumber hukum yang memandu perjuangannya. PAS mengajak manusia kembali semula kepada al-Quran dan Sunnah demi untuk mengembalikan kekuatan seluruh orang yang beriman, sebagai mana zahirnya Nabi SAW dengan agenda Rabbani untuk benar-benar meletakkan manusia sebagai hamba Allah.

Bersempena dengan Sambutan Maulid Nabi SAW pada hari ini, saya menyeru seluruh umat Islam atas nama agama yang suci dan kemuliaan Nabi SAW, supaya kita kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Bersatu dan membina kekuatan atas nama Islam, melaksanakan syariat Allah demi sebuah ketaatan dan meninggalkan kesesatan seluruh ideologi serta kemungkaran demi menjayakan tujuan penciptaan.

HAJI HASHIM JASIN
Mursyidul Am PAS
12 Rabiul Awal 1438 – HARAKAHDAILY 12/12/2016