Tujuan dakwah untuk sampaikan Islam

MENURUT Ibnu Qayyim Rahimahullah, selepas tiga hari wafatnya Abu Talib, wafat pula isterinya yang dikasihi Ummul Mukminin Saidatina Khadijah RA. Hal ini menambahkan lagi kesedihan dan dukacita baginda lantaran mengingatkan peranan kedua mereka yang besar dalam dakwah Islamiah.

Advertisement

Peristiwa tersebut bukan berlaku semata-mata untuk menyusahkan perjuangan Islam, bahkan mengandungi hikmah yang tersangat besar. Ia adalah bagi memurnikan kejayaan dakwah dan tujuannya, supaya jelas bahawa pertolongan yang hakiki adalah datang daripada Allah SWT semata-mata.

Ini yang kita perlu faham. Ramai pada hari ini orang berdakwah dan berjuang dengan mengharapkan pertolongan manusia, sehingga lupa pertolongan Allah SWT. Bahkan mereka sanggup mengharap bantuan orang kafir lebih dari bantuan Allah. Mereka percaya pertolongan orang kafir boleh memenangkan Islam. Hakikatnya orang kafir tolong kita separuh jalan sahaja, bukan sungguh-sungguh.

Allah taala matikan Abu Talib dan Khadijah untuk menyatakan, kemenangan Islam yang sebenar adalah datangnya dari pertolongan Allah SWT. Pertolongan manusia hanya sebahagian kecil sahaja. Walaupun peranan Khadijah sangat besar ertinya kepada diri Rasulullah, dan perlindungan Abu Talib pula memberi peluang kepada dakwah untuk lebih bebas, tetapi tiada siapa yang boleh membuat alasan bahawa kemenangan Islam adalah kerana si anu atau si anu.

Oleh itu para sahabat RA dan para pejuang terdahulu tetap meneruskan dakwah walaupun menghadapi berbagai seksaan dan ancaman. Mereka tidak peduli apakah mendapat bantuan manusia ataupun tidak. Mereka juga tidak kisah adakah orang mahu ikut ataupun tidak. Mereka percaya segala yang dihadapi adalah bagi memurnikan kemenangan Islam yang bakal dicapai, untuk membentuk kebergantungan diri hanya kepada pertolongan Allah SWT. Peristiwa kematian dua orang yang banyak membantu Nabi SAW memberi makna kepada mereka bahawa perlu utamakan pertolongan Allah walaupun tidak dinafikan terdapat peranan makhluk.

Pada sahabat di masa itu ditarbiyah dengan Surah-surah Makkiyyah. Tuhan menceritakan tentang kisah perjuangan umat terdahulu. Ada Nabi yang ramai pengikut, ada yang sedikit dan ada yang tidak ada pengikut langsung. Dalam Surah Yaasin menceritakan, tiga orang Nabi yang diutus, hanya seorang sahaja yang ikut mereka. Ini bermaksud jangan peduli orang ikut atau tak mahu ikut. Tanggungjawab kita hanya sampaikan Islam sebagaimana yang Allah suruh.

Seringkali berlaku dalam Harakah Islamiah, mereka yang lemah iman terperangkap dalam pujuk rayu manusia sehingga lupa pertolongan Allah. Lalu mereka mengadakan uslub-uslub yang terlalu longgar mengenai pergantungan kepada akidah dengan berlindung di sebalik perkataan ‘hikmah’. Ramai yang beralasan hikmah dalam dakwah ialah kena bercakap yang orang setuju sahaja, yang orang suka dengar. Yang orang tak suka dengar jangan bercakap. Barulah orang ramai datang kepada kita.

Ramai pendakwah terpengaruh dengan cara sebegini. Akhirnya sikap ini membawa kepada meletakkan sebab-sebab manusiawi mengatasi anasir rabbaniyah dalam menjayakan cita-cita dakwah Islamiah. Selepas itu mereka jadi hanyut dalam arus yang memesongkan dari matlamat asal untuk mencapai redha Allah, kepada matlamat yang songsang seperti untuk kedudukan dan harta.

Jangan begini! Jangan sekali-kali! Mesti bergantung dengan Allah SWT. Setuju tak setuju, suka tak suka itu hal mereka, jangan pedulikan. Teruskan bercakap cara Islam. Apa yang Islam suruh kena cakap, apa yang Islam larang, Islam tegur juga kena cakap. Orang nak marah biarkan marah. Nak lari habis pun tak apa! Ini prinsip kita. Kena teguh dengan cara sebegini.

Malangnya banyak kalangan pendakwah pilih jalan supaya orang ramai mari, bukan niat nak perbetul. Menarik hati orang ini adalah kerja Allah SWT. Tuhan boleh tarik seramai manapun yang Dia kehendaki. Hidayah adalah urusan Allah. Serahkan sahaja urusan ini kepada-Nya. Bukan tanggungjawab kita nak suruh orang ramai. Tanggungjawab kita adalah menyatakan Islam sahaja. – HARAKAHDAILY 27/2/2017

Petikan kuliah Jumaat Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila pada 27 Jumadal Ula 1438/24 Februari 2017