Bomba arah guna amaran kebakaran automatik

SEKSYEN 238 Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 menyatakan Sistem Amaran Kebakaran Automatik yang dipasang dalam premis-premis tentuan (khususnya premis yang menempatkan ramai penghuni seperti hospital, hotel, sekolah, kilang dan seumpamanya) mesti mempunyai sambungan terus kepada balai bomba yang berkenaan dengan membipas (bypassing)  papan suis. “Telefon merah” di premis-premis tersebut menjadi hubungan secara langsung. Sistem ini telah mendapat kelulusan dari Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM). Ketika berdepan dengan keadaan kecemasan, pengawasan efisien amaran kebakaran oleh kakitangan terlatih adalah penting dan masa dihitung dalam bilangan  saat.

Advertisement

Kebelakangan ini pihak Jabatan Bomba mengadu bahawa Sistem Pengawasan Berkomputer (CMS) yang digunakan menghantar terlalu banyak amaran palsu ke balai bomba dan ia menyebabkan kakitangan yang bertugas mengambil masa terlalu lama untuk mengawasinya.

Oleh itu, Jabatan Bomba telah memutuskan untuk berhenti daripada mengawasi amaran automatik tersebut, sambil mendakwa syarikat yang menyediakan sistem CMS enggan berbuat sesuatu untuk meringankan  beban jabatan bomba yang  mengawasinya.

Bagaimanapun menurut salah sebuah syarikat yang kami hubungi, ia telah mencadangkan untuk mewujudkan stesen pengawasan berpusatnya sendiri yang akan dikendalikan 24 jam oleh kakitangan terlatih namun jabatan bomba tidak memberi sebarang respons kepada cadangan tersebut.

Sebaliknya, Jabatan Bomba telah melantik sebuah (1) syarikat untuk menyediakan sistem pengawasan yang berbeza sambil mendakwa ia akan menyelesaikan masalah amaran palsu. Sistem ini dikenali sebagai Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA).

Ia telah mewajibkan premis-premis tentuan untuk bertukar kepada sistem SPKA berkenaan, dan jika gagal berbuat demikian,  Sijil Kebakaran Tahunan tidak akan diberikan.

Syarikat yang membekalkan sistem SPKA tidak mempunyai stesen pengawasan berpusat untuk dikendalikan oleh kakitangan terlatih 24 jam sehari.

Sistem SPKA menghendaki pengawasan dibuat oleh beberapa “orang yang bertanggungjawab” dalam premis-premis tentuan. Apabila amaran kebakaran digerakan dalam mana-mana premis terbabit, sistem itu akan menghantar amaran SMS kepada orang yang bertanggungjawab (yang mungkin sibuk dengan tugasan harian mereka seperti sedang bercuti, bekerja di luar atau di luar negara). Mereka perlu mengesahkan  sama  ada  amaran  kebakaran  itu  benar, dan jika ya, menghubungi Jabatan Bomba. Jika tiada sebarang respons daripada mereka mengikut masa yang ditetapkan, amaran itu secara automatik dikembalikan ke jabatan bomba. Ia mungkin masih merupakan amaran kebakaran yang palsu.
 
Meminta orang biasa (laymen) untuk bertindak sebagai pengawas amaran kebakaran amat mengejutkan. Sepanjang pengetahuan kami, ia bukan amalan dalam mana-mana negara maju. Di negara maju, syarikat swasta yang membekalkan alat pengesan kebakaran dan sistem amaran kebakaran automatik perlu membentuk stesen pengawasan berpusatnya sendiri yang dikendalikan 24 jam sehari oleh kakitangan terlatih. Stesen-stesen ini perlu memenuhi piawaian bagi prestasi pembinaan dan operasi fizikal.

Syarikat insurans juga boleh menolak tuntutan di mana sistem pengawasan kebakaran pengguna tidak dikendalikan oleh pusat/stesen pengawasan yang diiktiraf.

Jabatan Bomba belum menjelaskan bagaimana sistem SPKA boleh mengurangkan amaran palsu memandangkan terdapat beberapa faktor yang boleh menggera bunyi amaran, misalnya penggunaan hos pemadam api untuk mencuci parit/lantai; wap atau habuk berhampiran/di sekitar alat pengesan asap; dan sebagainya. Sistem SPKA tidak menangani punca-punca amaran palsu alat penggera automatik.

CAP mahu:
·Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memastikan sistem pengawasan amaran kebakaran automatik (yang kini Jabatan Bomba enggan melakukannya lagi) dijalankan dalam stesen pengawasan kebakaran yang teratur dengan memenuhi piawaian yang ditetapkan di negara-negara maju.

·Kementerian berkenaan menghalang Jabatan Bomba daripada memaksa pemilik/penghuni premis tentuan bertukar kepada satu sistem di mana kakitangan/pekerja mereka sendiri perlu mengawasi amaran kebakaran.

·Kementerian berkenaan memastikan sekiranya kerja-kerja mengawasi amaran kebakaran tidak lagi dilakukan oleh Jabatan Bomba, kerja itu tidak dimonopoli oleh hanya sebuah (1) syarikat. Syarikat-syarikat swasta mesti dibenarkan bersaing untuk membentuk stesen pengawasan agar perkhidmatan yang bermutu disediakan pada harga yang kompetitif dan piawaiannya tidak dilonggarkan.

·PIAM memaklumkan kepada pemilik/penghuni premis tentuan sama ada ia meluluskan sistem SPKA berkenaan, dan sama ada dalam sebarang tuntutan insurans daripada mereka “pengawasan sendiri” oleh pekerja mereka sendiri tidak dijadikan alasan untuk menolak tuntutan. – HARAKAHDAILY 2/3/2017