Lepas RUU355, Zakir Naik pula diserang

NAMPAKNYA isu-isu melibatkan agama Islam di negara kita semakin hebat menerima serangan. Tidak seperti dekad-dekad yang lalu, Islam sebagai agama rasmi persekutuan sudah tidak lagi dihormati. Perjuangan menjadikan Malaysia sebuah negara liberal yang menganjurkan persamaan semua agama sebagaimana barat semakin menjadi-jadi.

Advertisement

Teladani polemik RUU355. Pindaan akta mahkamah syariah bidang kuasa jenayah ini hanya melibatkan orang Islam sahaja. Tetapi ia diserang begitu hebat pemimpin politik bukan Islam. Turut terlibat menentang adalah golongan pejuang hak kebebasan beragama Islam. Malah ada agamawan turut mempertikai. Kita hairan, kenapa usul RUU355 yang bersifat begitu teknikal, bermatlamat menaiktaraf martabat Islam dan eksklusif hanya kepada penjenayah beragama Islam ini mendapat tentangan sebegini dahsyat?

Isu Dr Zakir juga sama. Dia dituduh ancaman kepada negara. Dia dikaitkan dengan kumpulan pengganas. Dia diwatakkan seperti penjenayah berbahaya. Sedangkan kepada yang pernah mendengar ceramah beliau, pasti tahu bagaimana pembawaan beliau. Tidak pernah sekali-kali beliau memperomosikan keganasan. Ceramahnya sarat dengan hujah ilmiah dan logikal yang menepati manhaj akademik. Beliau tidak pernah menghina sesiapapun dan sangat hormat kepada undang-undang dan pemerintah setiap negara yang dilawati.

Lalu apakah punca sebenar semua penentangan ini berlaku?

Tidak lain dan bukan, kerana kedua isu ini membawa keuntungan buat masa depan Islam di negara ini.

Mereka tahu sekiranya undang-undang syariah berjaya diaplikasikan setelah RUU355 diluluskan, orang akan melihat keindahan ajaran Islam yang sebenar, jauh dari apa yang digambarkan barat. Lalu akan membawa kepada kecenderungan untuk memeluk Islam.

Mereka juga tahu setiap hujahan Dr Zakir Naik mampu membuatkan orang meyakini kebenaran ajaran, lalu memeluk Islam. Hampir setiap kali program ceramah yang dilakukan, ada sahaja saudara baru yang memeluk agama suci ini.

Jika kedua usaha ini dibiarkan, Islam akan terus berkembang pesat. Islam akan menjadi pegangan semua kaum yang ada di Malaysia. Maka ia akan menggagalkan usaha mengliberal negara ini. Justeru bagi mereka, ia tidak boleh dibiarkan.

Semua ini adalah sebab utama semua penentangan berlaku. Hakikat yang sebenar, mereka anti kepada usaha kesedaran Islam dalam kalangan masyarakat. Dengan kata lain, mereka anti-Islam!

Malang sekali, mereka kini semakin lantang bersuara. Walaupun umat Islam adalah majoriti dan mereka hanya mewakili pandangan sebilangan kecil rakyat Malaysia, mereka tetap mengganas dan terus diberikan muka.

Puncanya adalah kerana umat Islam sendiri yang bertelagah. Masing-masing bermusuh antara satu sama lain. Ada orang Islam sanggup berpihak kepada penentang Islam ini termasuk agamawan, dengan memberi modal hujah kepada golongan ini, hanya kerana yang memperjuangkan syariat ini adalah seteru politik mereka atau berlainan fikrah dengan mereka.

Atas nama hak untuk berbeza, kita umat Islam sendiri membina tembok antara kita, sehingga tidak boleh duduk bersama walaupun demi kepentingan Islam.

Hanya satu-satunya cara mendiamkan golongan anti-Islam ini adalah bersatu atas nama Islam. Buang perbezaan politik, buang percanggahan ideologi, mazhab, aliran, dan semuanya. Sama-sama pertahankan Islam. Jangan lagi bercakap tentang perbezaan, tentang perkara khilaf. Semua itu tidak membantu agama buat masa ini. Melayu, aswaja, wahabi, kaum muda, kaum tua, PAS, Umno, keadilan, buang ke tepi dahulu semua nama ini. Kita guna satu nama sahaja. MUSLIM!

Atas nama muslim, sama-sama pertahan pemerkasaan syariat Islam. Sama-sama pertahankan Dr Zakir Naik! – HARAKAHDAILY 2/3/2017