Rasai pengalaman bersama ‘Tahfiz’ di Hospital Perang

SAYA dibawa melawat mangsa-mangsa perang di Hospital Besar Marib. Antara mereka itu adalah para pejuang rakyat dan orang awam termasuk kanak-kanak. Melihat keadaan mereka, seakan tidak jauh beza dengan mana-mana hospital lain. Hanya mereka bukanlah cedera kerana kemalangan jalanraya atau bermain mercun.   
 
Jumlah pesakit baru dalam sehari dianggarkan 10-20 orang. Pada waktu tertentu jumlahnya meningkat sehingga 30-50 orang. Kebanyakan mereka tercedera akibat pertempuran di kawasan pergunungan arah barat menghala ke Sana’a di mana penentangan sengit terhadap perampas kuasa Al-Houthi sedang berlaku.   
 
Pada permulaannya, saya dihalang untuk masuk dan mengambil gambar oleh tentera yang berkawal di setiap pintu masuk hospital. Namun setelah menyedari kedatangan saya bersama Pengarah Hospital, Dr.Fath al-Qadasi dan Pengarah Kesihatan, Dr. Mahib al-Mikhlafi, maka semua urusan berjalan lancar.   
 
Sebelum itu, saya dibawa dalam satu majlis perpisahan dengan 47 orang tentera yang akan menyempurnakan rawatan lanjutan ke Mesir. Satu sidang akhbar turut diadakan. Ketika ditanya mengapa dipilih rawatan di Mesir, Dr. Mahib al-Mikhlafi menjawab prosedur penerimaan lebih mudah berbanding negara-negara Arab yang berjiran. Selain itu, negara Sudan dan India turut menjadi pilihan kerana kos rawatan yang rendah.
 
Menurut Ketua Penyelaras, Dr. Mujahid al-Bahri, buat masa ini hospital tersebut beroperasi dengan sokongan dana yang terhad, namun mereka sedaya upaya memberikan rawatan yang terbaik untuk para tentera dan pejuang rakyat yang tercedera.  

Advertisement

Bermalam di Asrama Pesakit

Saya ditempatkan di bilik pejabat salah seorang pegawai kesihatan dengan tilam nipis dan berbantalkan beg sandang saya. Walaupun ditawarkan untuk menyewa hotel di luar, saya lebih selesa berada dalam kawasan Mujamma’ al-Nasr, iaitu asrama pesakit yang dikeluarkan dari hospital untuk mendapatkan rawatan ringan.
 
Jumlah mereka yang berada di situ kira-kira 800 sehingga 1000 orang dalam satu-satu masa. Kebiasaannya, mereka akan berada di situ 2-3 bulan atau lebih sebelum pulih daripada kecederaan dan kembali ke medan perang. Terdapat 8 blok bangunan di penempatan tersebut merangkumi masjid, pejabat pentadbiran, pusat fisioterapi, kantin, asrama pesakit kecederaan berat dan ringan.
 
Selepas Isyak, saya dibawa menziarahi penghuni penempatan pesakit tentera itu dan menyantuni mereka. Tidak kelihatan mereka seperti berada dalam situasi perang. Mereka kelihatan ceria walaupun sebahagiannya kehilangan kaki atau anggota tubuh yang lain.
 
Menurut Syeikh Harun Mansur, Timbalan Pengarah Bahagian Dakwah dan Bimbingan yang bertugas menyusun program-program kerohanian di penempatan itu, penghuni Mujamma’ al-Nasr diberikan kelas-kelas pengajian agama dan hafalan al-Quran. Selain itu terdapat juga aktiviti sukan seperti ping pong dan seumpamanya.
 
Yang menariknya, Syeikh Harun memberitahu saya bahawa tentera pemerintah dan pejuang rakyat yang bergabung menentang Al-Houthi terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada di kalangan mereka yang asalnya tidak kuat beragama, ada yang berfahaman sosialis, sekular dan ramai juga pejuang yang berhaluan Islam.

Namun, terdapat hikmah yang besar melalui rawatan yang diterima di sini menjadikan mereka lebih mendekati Islam dan mengubah sisi pandang terhadap konflik yang sedang berlaku dalam negara mereka.   
 
Beliau yang sebelum ini merupakan khatib di Masjid al-Mukminin di Jalan Ribath, Sana’a telah dihalau oleh puak perampas kuasa kerana enggan menurut telunjuk mereka. Akhirnya beliau menyertai perjuangan penentangan (Al-Muqawwamah) dan berperanan di medan tarbiah dan kerohanian bersama beberapa tenaga agamawan yang lain.  

Tentera-tentera penghafal al-Quran

Malam itu saya tidak dapat tidur nyenyak, kerap terjaga dan memerhatikan jam dalam kegelapan malam. Sehinggalah azan subuh yang pertama, saya bingkas bangun dan menuju ke masjid dalam jarak kira-kira 200 meter.
 
Saya mendapati, dalam ruang solat utama sudah ramai pesakit-pesakit tentera memenuhi bahagian hadapan. Sebahagian mereka ada yang bertongkat dan berkerusi roda. Mereka sibuk berzikir atau membaca al-Quran.

Saya cuba mengambil tempat di saf pertama yang masih berbaki kemudian sama-sama menunggu waktu azan dan iqamah. Ketika imam sudah berdiri di hadapan, saya perhatikan masjid sudah penuh hingga ke belakang.
 
Suasana ini mengingatkan saya kepada Universiti al-Iman di Sana’a yang sudah ranap dibom dan dirampas oleh puak Al-Houthi. Malah para imam dan petugas masjid adalah graduan dari universiti yang kini hanya tinggal nama itu.
 
Ketika rakaat pertama, imam telah membaca surah yang agak panjang. Tiba-tiba beliau terhenti bacaan mungkin kerana terlupa ayat yang hendak dibaca. Serta merta para makmum di saf pertama, kedua dan ketiga menyambung bacaan imam beramai-ramai untuk mengingatkannya.
 
Usai solat subuh dan setelah memberi salam, saya tertunduk dan tersenyum sendirian. Solat subuh yang tidak akan saya lupakan bersama tentera-tentera penghafal al-Quran. – HARAKAHDAILY 2/3/2017