Derma siswa: Purnama peruntuk RM60,000

KOTA BHARU: Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan (Purnama) memperuntukkan sebanyak RM60,000 untuk program derma siswa tahun ini.

Advertisement

Sumbangan itu diberikan kepada 100 orang pelajar mewakili 10 buah sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik) sebanyak RM50 seorang selama setahun.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, telah menyampaikan sumbangan itu pada majlis khas yang diadakan di sebuah hotel hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, anggota exco kerajaan negeri, Mumtaz Md Nawi, Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, Anggota Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Zailah Mohd Yusof.

Hadir sama, Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim, Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik), bekas Pengerusi Purnama Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak serta anggota jawatankuasa Purnama.

Pengerusi Purnama, Datin Siti Zabedah Abdul Hamid, ketika berucap pada majlis itu berkata sumbangan itu diberikan bagi membantu golongan pelajar yang kurang berkemampuan.

Katanya, walaupun sumbangan tersebut tidak besar, namun ia diberikan sebagai tanda ingatan pihaknya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Yik kerana pelajarnya sentiasa cemerlang dalam pelajaran. – HARAKAHDAILY 2/3/2017