Perlembagaan Malaya: Rangka awal pemikiran kenegaraan PAS

PERJUANGAN menuntut kemerdekaan yang dipacu oleh PAS membawa konsep yang tersendiri kerana hasrat parti Islam ini mahukan sebuah negara yang melaksanakan syariat ditegakkan di atas runtuhan penjajah. Sebagai sebuah parti yang masih baru, pada 27 April 1953, PAS telah menyertai National Conference, sebuah persidangan yang menggabungkan parti-parti politik di Malaya anjuran 16 orang kenamaan termasuk tujuh orang Menteri Besar bagi menuntut pilihan raya segera ke arah berkerajaan sendiri. Kerana penglibatan PAS dalam badan ini, di mana Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa National Conference, PAS telah menggariskan satu konsep negara yang menjadi asas kepada semua perundingan PAS berkaitan isu-isu kenegaraan. Konsep dasar ini telah dinamakan sebagai “Perlembagaan Malaya.”

Advertisement

Perlembagaan Malaya yang digubal oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 Mei 1953 ini telah merangka garis-garis besar tentang bentuk negara Tanah Melayu merdeka, yang sekali gus memperlihatkan komitmen PAS untuk mengambil pendekatan demokrasi sebagai pendekatan perjuangannya sebagaimana yang disebut dalam Program Politik PAS. Ia menjadi testament politik PAS ketika bersama National Conference, kemudiannya National Convention dan juga pakatan politik yang lain pra merdeka. Ia juga merupakan terjemahan sikap PAS yang disebut oleh Yang Dipertua Agungnya bahawa kerjasama politik ini tidak akan mengikat PAS, bahkan PAS boleh berkecuali jika pendirian mana-mana badan yang disertainya bercanggah dengan prinsip-prinsip asas yabg digariskan oleh PAS menerusi Perlembagaan Malaya.

Perlembagaan Malaya ini pada asasnya menggariskan lima prinsip utama yang pegang oleh PAS untuk semua perundingan dalam soal kenegaraan. Lima prinsip tersebut ialah:

I. Nama perlembagaan negara;
II. Agama negara;
III. Bahasa rasmi negara;
IV. Corak kerajaan; dan
V. Kerakyatan.

PAS memutuskan perlembagaan negara ini mestilah dinamakan sebagai “Perlembagaan Persekutuan Semenanjung Tanah Melayu” atau “The Constitution of the Federation of Malay Peninsula.” PAS menolak perkataan Malaya kerana perkataan ini bukan sahaja berbau penjajah, tetapi tidak menggambarkan orang Melayu sebagai tuan punya negeri yang mempunyai hak ketuanan secara mutlak ke atas Tanah Melayu. Nama negara yang disebut sebagai Persekutuan Semenanjung Tanah Melayu menunjukkan bahawa hak ketuanan dan kebangsaan negara ini mestilah Melayu, dan orang asing boleh diberikan hak sebagai imigran secara terhad. Nama Tanah Melayu adalah nama asal yang sangat sesuai pada bunyi, makna dan isinya.

Kedua, PAS mempertegaskan Islam hendaklah dijadikan agama rasmi negara dan sekali gus menjadi dasar negara. Islam menjadi agama rasmi bagi semua sembilan buah negeri Melayu dan empat buah wilayah Negeri-negeri Selat iaitu Melaka, Pulau Pinang, Seberang Perai dan Singapura, di mana PAS mahu sebuah kementerian khas diwujudkan untuk memusatkan pentadbiran agama. Hal ini sesuai dengan tujuan PAS untuk memperjuangkan tertegaknya syariat Islam di negara ini, sekali gus menolak pendekatan sekular dalam soal kenegaraan. Ketiga, bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi bagi Persekutuan Semenanjung Tanah Melayu, sedangkan bahasa Inggeris menjadi bahasa kedua untuk suatu tempoh sementara dalam masa peralihan. Oleh kerana bahasa Melayu adalah bahasa anak negeri dan ia telah diterima sebagai bahasa pengantar oleh rakyat, maka ia perlu menjadi bahasa negara, iaitu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan bagi Tanah Melayu.

Keempat, PAS memberikan fokus kepada corak atau bentuk kerajaan bagi Persekutuan Semenanjung Tanah Melayu. Beberapa aspek yang ditekankan oleh PAS iaitu negara ini mestilah berbentuk persekutuan (federal), iaitu gabungan negeri-negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Persekutuan ini ditadbir secara demokrasi di mana sebuah dewan perwakilan rakyat (parlimen) dibentuk sebagai majlis tertinggi dengan ahli-ahlinya dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Pentadbiran awam dijalankan oleh kuasa eksekutif melalui penubuhan kementerian-kementerian di mana sebuah jemaah menteri (kabinet) yang bertanggungjawab kepada dewan perwakilan rakyat dibentuk untuk menjalankan pentadbiran awam negara. Dan kelima, soal kerakyatan. PAS berpegang bahawa dasar kerakyatan sedia ada mengikut Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 (Pindaan 1952) adalah wajar dikekalkan, di mana imigran tidak diberikan kerakyatan secara mudah, sebaliknya melalui syarat-syarat yang ketat.

Pada asasnya, PAS telah mempunyai pandangan yang terkehadapan tentang realiti politik dan bentuk negara ini apabila berkerajaan sendiri. Selain mahu negara ini diberikan hak ketuanannya kepada pemilik asal iaitu orang Melayu, PAS juga mahukan kedudukan Islam sebagai dasar negara serta pelaksanaan syariat ditegaskan, selain kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Dalam menentukan corak kerajaan, PAS memilih bentuk negara persekutuan yang mengamalkan demokrasi berparlimen dengan kuasa rakyat untuk memilih kerajaan dan kewujudan pengasingan kuasa antara eksekutif (jemaah menteri) dan legislatif (dewan perwakilan). Setelah Perlembagaan Malaya ini dibentuk, ia telah menjadi asas kepada PAS dalam semua perundingan kenegaraan dalam National Conference dan National Convention antara 1953 hingga 1954.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
2 Mac 2017