Apakah kezaliman terbesar

KEZALIMAN terbesar manusia adalah syirik kepada Allah. Dengannya manusia menjadi kufur dan tiada lagi balasan selayaknya buat mereka selain neraka dan kelaknatan.

Advertisement

Kezaliman terbesar umat Islam pula adalah ragu-ragu terhadap syariat Allah. Walaupun umat Islam mendakwa beriman kepada Allah, lalu digelar muslim, tetapi tiadanya keyakinan terhadap wahyu dan arahan-Nya adalah sebahagian syirik kepada-Nya. Ragu-ragu terhadap arahan-Nya akan mendorong kepada keyakinan terhadap syariat dan peraturan sesama manusia. Itu juga syirik yang jelas.

Walaupun kekufuran golongan kuffar adalah lebih besar di sisi Allah dan balasan terhadap mereka di akhirat adalah paling dahsyat, tetapi pembalasan di dunia adalah sebaliknya. Mereka yang kufur dijamu dengan pelbagai kesenangan hidup mengikut kehendak dan kekuatan mereka mengeksploitasi kekayaan duniawi ini. Itulah syurga mereka yang palsu. Sebagaimana mereka beriman kepada kepalsuan, mereka juga dibalas dengan kepalsuan. Itulah keadilan Ilahi.

Adapun umat Islam yang ragu-ragu dengan ugama sendiri, mereka di dunia adalah terawang-awang di antara kemuliaan dan kehinaan. Kemuliaan adalah kerana mereka tetap menjaga Islam mereka dan tidak murtad. Kehinaan adalah pembalasan Allah kerana mempermainkan Allah dan orang-orang beriman yang lain.

Walaupun mereka berusaha menunjukkan kebijaksanaan mereka dengan campur aduk antara keyakinan dan keraguan terhadap-Nya, tetapi Allah tidak akan mengizinkan. Al Quran secara nyata menyebut bahawa balasan terhadap golongan ini adalah kehinaan di dunia dan azab yang teruk di akhirat.

Maka adalah nyata bahawa balasan orang-orang kafir adalah kemewahan di syurga dunia yang fana dan azab neraka di akhirat yang kekal. Manakala umat Islam yang ragu-ragu dengan ugama sendiri (munafikin), balasan terhadap mereka adalah hina di dunia dan hina juga di akhirat.

Kefahaman daripada hukuman Allah tadi begitu menjelaskan kepada kita bahawa yakin terhadap Allah dan syariat-Nya adalah tuntutan kewajiban terbesar umat Islam hari ini. Ini adalah kerana dunia Islam hari ini dilanda penyakit keraguan terhadap ugama sendiri yang agak kronik. Dunia Islam hari ini hidup tanpa pedoman ugama secara nyata. Fahaman dan undang-undang kehidupan telah dicampur-adukkan di antara syariat ugama dan undang-undang manusia yang bertentangan dengan wahyu dan arahan Allah.

Hukuman Allah ke atas umat Islam hari ini adalah nyata. Negara-negara Islam mundur dan terkebelakang. Umat Islam pula diperlekeh. Untuk bangkit semula, mereka dilanda ketakutan dan rasa rendah diri. Akhirnya mereka menjadi pak turut kepada tamadun barat. Apabila disuruh atau dicucuk supaya berperang sesama sendiri, mereka terus sanggup menumpahkan darah sesama sendiri walaupun jutaan nyawa umat melayang. Itulah kehinaan yang nyata.

Penyakit yang melanda negara kita Malaysia adalah sama. Ia sebuah negara yang masih ragu-ragu terhadap Islam. Pembangunan dan penyelesaian kepada masalah negara dibangunkan dengan undang-undang yang diimport daripada barat. Sistem dan jentera negara dipenuhi warna-warni sekularisme yang menolak ugama ke sudut paling tepi. Jika ada suara dan sentuhan Islami di mana-mana penjuru, maka ia adalah kerana wujudnya ruang-ruang kosong yang tidak menjadi buruan, rebutan dan keperluan kepada sekularisme untuk bertapak dan berkuasa. Maka di situ Islam bolehlah bernafas dan berperanan.

Penyakit paling besar negara yang paling utama ialah akidah yang goncang, bukan ekonomi yang goncang dan bukan juga para pemimpinnya yang angkuh. Ekonomi yang goncang akibat pemimpin yang angkuh hari ini adalah kesan dan manifestasi penyakit menolak Islam. Rasuah, boros, membazir, salah guna kuasa, monopoli, dadah dan segala penyakit negara adalah kesan ketidakyakinan terhadap Islam dan syariat-Nya.

Semua itu perlu diperangi. Semua itu merosakkan negara. Tetapi memeranginya dengan senjata sekularisme juga adalah berputar pada putaran yang sama. Ia kekal sebagai penyelesaian yang palsu. Balasan Allah adalah nyata. Umat Islam tanpa Islam adalah kehinaan di dunia dan di akhirat juga. Sunnah dan ketetapan Allah tidak akan berubah sedikit pun.

Penawar untuk kita adalah meyakinkan diri sendiri untuk kembali kepada Islam dengan penyelesaiannya yang padu dan menyeluruh. Ia jihad besar yang begitu nyata. Justeru semua pihak mestilah berganding bahu menyeru umat agar kembali kepada Islam yang sempurna dan lestari.

Bagaimana caranya? Ia adalah persoalan hikmat dan kebijaksanaan. Al Quran dan sunnah nabi adalah rujukan untuk menerapkan nilai-nilai hikmat di dalam proses mengubati umat ini. Hikmat barat mestilah diukur dan ditapis sehingga tidak melanggari prinsip-prinsip Islam.

Antara kecacatan kita yang nyata ialah kegagalan di dalam sistem pengajaran dan pendidikan kita untuk menerapkan nilai ‘dengar dan patuh’ kepada ketetapan Allah. ‘Sami’na Wa Ata’na’ adalah binaan ugama yang menjadi tempat berlindung dan bentengan yang akan menyelamatkan individu dan umat Islam di saat berdepan serangan bertali arus daripada musuh.

Selalu berbahas dan asyik mendahulukan pencarian hikmat daripada hukum-hukum agama telah merosakkan akal umat dengan kekaguman terhadap akal sesama manusia. Akhirnya, kita hanya tahu merangka tahap-tahap, tadrijiah, awlawiyat dan sebagainya di dalam pelaksanaan hukum Islam tetapi gagal pula menyusun akal kita dan keegoan sendiri di dalam berhadapan nas-nas Islami yang maha suci.

Adakah para sahabat nabi ridhwanuLlahi alaihim asyik bertanyakan hikmat hukum agama? Tidak. Mereka begitu bersungguh untuk melaksanakan hukum ugama ke atas diri dan masyarakat. Mereka begitu obses dengan kalimah ‘Sami’na Wa Ata’na’ yang merupakan manifestasi penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah dan syariat-Nya.

Ini bukan bermaksud menidakkan kecantikan usaha kita di dalam memperkasa syariah Islam dengan mengorek hikmat dan kebijakan hukum ugama, tetapi lihatlah betapa para sahabat nabi sudah begitu terbiasa menerima kebenaran atau al haq dengan melihat hikmat sesuatu hukum itu hanya selepas sesuatu hukum Allah itu dilaksanakan terlebih dahulu. Hasilnya, sifat ‘kami dengar dan kami patuh’ sudah begitu sebati di dalam kehidupan mereka.

Walau apapun kekurangan kita hari ini, setidak-tidaknya kita sudah boleh bergembira dengan tahap kesungguhan umat Islam untuk kembali kepada agama. Sudah banyak kegagalan, kepedihan dan kesakitan yang Allah tunjukkan untuk menjadi pengajaran dan iktibar yang berguna kepada kita untuk kembali kepada ugama kita sendiri.

Jadi usahlah kita terlalu terdorong untuk berbahas dan asyik mempertikaikan isu-isu agama sehingga boleh memecahkan kesatuan yang semakin diraikan dan diimpikan oleh setiap kita. Kesatuan dan persaudaraan umat masih rapuh. Tugas kita adalah memantaunya dan sentiasa meninjau di setiap penjuru, jangan-jangan musuh datang menyerang dalam kealpaan diri kita sendiri.

Musuh besar negara dan umat adalah keraguan terhadap agama. Keraguan meninggalkan sifat keengganan untuk dengar dan patuh kepada ajaran Allah. Keengganan mewariskan sifat takbur di dalam diri. Takbur dan angkuhlah yang akhirnya menghancurkan iblis walau sudah menghuni di dalam syurga! Selamat berjuang di jalan Allah.

* Artikel adalah untuk kolum ‘Terang Rembulan’ akhbar Harakah.