Perkasakan sistem mudharabah sebagai pembiayaan perniagaan Islam

SISTEM Mudharabah sebagai satu kaedah perkongsian perniagaan perlu diperluaskan dalam masyarakat bagi menyelamatkan masyarakat peniaga berskala kecil khususnya terlibat dengan pinjaman Riba.

Advertisement

Mudharabah adalah perkongsian perniagaan antara pemodal dan peniaga yang menjalankan perniagaan. Asasnya adalah perkongsian pada untung dan juga rugi. Berbeza dengan sistem perbankan Islam yang sedia ada sekarang. Mereka hanya mampu menyediakan pembiayaan perniagaan menggunakan beberapa kaedah akad yang dibenarkan oleh Syarak yang hanya meletakkan bebanan risiko rugi hanya ke atas peniaga. Tetapi untung dan manfaat dinikmati bersama.

Masyarakat peniaga khususnya peniaga kecil-kecilan mengambil pinjaman cara riba menerusi along yang tidak berlesen mahupun institusi kewangan riba yang berlesen. Penglibatan dengan riba ini menghilangkan Barakah perniagaan mereka.

Malah sistem riba inilah yang merosakkan ekonomi negara kerana ia mencipta duit baru dan kekayaan tidak berasaskan nilai aset yang benar dalam pusingan ekonomi negara.

Kerajaan boleh memperkasakan pelbagai institusi ekonomi Islam dalam negara ini bagi bergerak ke arah mengembangkan sistem Mudharabah ini bagi membina kekuatan ekonomi bagi ummah.

Sesungguhnya perniagaan antara bidang yang diberi perhatian besar oleh Rasulullah saw ketika membina negara baru Madinah. Pasar baru untuk umat Islam dibina oleh baginda bagi mengukuhkan pasaran peniaga muslim.

Dr Khairuddin at-Takiri
Sabtu 4hb Mac 2017