Belajar daripada Huzaifah, sang intelijen al-Rasul

REALITI kita sedang hidup di zaman bencana lagi keliru. Kita cukup terhutang budi dengan Huzaifah al-Yaman, sahabat yang banyak menyoal Nabi SAW bagi pihak kita tentang simptom-simptom bencana zaman kekeliruan.

Advertisement

Berikut adalah latar pemikiran Huzaifah al-Yaman yang banyak mempengaruhi tindakannya:

Worst Case Scenario

Melalui pengakuan Huzaifah, beliau tidak memilih untuk berfikir di zon selesa. Karektornya sangat berwaspada dengan bahaya yang tidak disedari oleh orang ramai.

“Ramai yang bertanya Rasulullah tentang perkara-perkara baik, sedangkan aku bertanya Rasullah tentang perkara-perkara buruk. Khuatir keburukan tersebut menimpaku.” – HR Bukhari & Muslim.

Realistik & Bersedia Dengan Cabaran Masa Hadapan

Huzaifah bukan seorang yang berteori. Bahkan beliau terjun ke medan. Hasilnya menyebabkan beliau mampu berfikir melangkaui zaman. Maka tidak peliklah jika kita membelek hadith-hadith tentang fitnah akhir zaman, nama Huzaifah sebagai perawi tersangat popular.

Bahkan kita dapati Huzaifah tidak segan mengemukakan soalan demi soalan kepada Nabi SAW. Manfaat inisiatif beliau dinikmati oleh kita semua hari ini. Menemukan kita solusi apabila terjebak ke zaman fitnah.

Umar pernah bertanya: “Siapakah di kalangan kalian yang tahu hadith Nabi tentang zaman fitnah?”

Huzaifah menjawab: “Saya”

Umar mengiktiraf: “Sungguh, engkau dalam topik ini di kalangan orang yang berani” – HR Bukhari.

Penyimpan Rahsia Yang Tiada Kompromi

Satu-satunya sahabat yang diberi kepercayaan oleh Nabi SAW untuk menyimpan rekod nama-nama munafiqin yang merupakan musuh dalaman gerakan Nabi SAW.

Huzaifah amat sensitif menghidu ancaman musuh dalaman umat Islam. Barangkali itulah faktor mengapa Nabi SAW memberi kepercayaan kepadanya.

Walaupun Umar pernah bertanya tentang nama-nama munafiqin, Huzaifah tetap kemas menyimpan rahsianya.

Perisik Nabi Yang Berani Mati

Dalam perang Ahzab, Nabi SAW membuka peluang kepada para sahabat yang sanggup menjadi perisik untuk menyusup masuk ke kem tentera Ahzab bagi mendapatkan maklumat intel musuh.

Tiada sahabat yang sanggup. Lantas Nabi SAW melantik Huzaifah menjalankan tugas bahaya tersebut. Beliau selamat dalam operasi itu walaupun berdepan dengan cubaan soal siasat dari pasukan Ahzab.

Berani beliau bukan acah-acah. Bahkan kelicikan Huzaifah bukan sembarangan.

Kesimpulan

Banyak lagi kisah Huzaifah yang menggambarkan kewaspadaannya cukup tinggi. Malangnya cara berfikir Huzaifah banyak ditinggalkan oleh umat Islam pada hari ini. Takut dikatakan kononnya paranoid. Hakikatnya lurus bendul.

ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor
5 Mac 2017 – HARAKAHDAILY 5/3/2017