Berumahtangga bukan alasan untuk elak berjuang

SEJAK zaman Nabi Muhammad SAW, muslimat ditempatkan di posisi yang sesuai dengan fitrah mereka. Walaupun mereka dikenali sebagai golongan lemah namun fakta sejarah telah membuktikan bahawa mereka telah memberi sumbangan yang amat besar kepada perjuangan, gelombang dan kebangkitan Islam.

Advertisement

Muslimat jelas mempunyai peranan tersendiri dalam membina kekuatan ummah dalam mendorong perjuangan ke arah kejayaan. Oleh itu, muslimat perlu kreatif dalam pengurusan organisasi dan bersedia mempelajari teori-teori pentadbiran agar dapat meningkatkan kualiti kepimpinan. Malahan dalam persiapan menghadapi pilihan raya, muslimat perlu mempersiapkan diri berkemungkinan pilihan raya umum akan diadakan pada bila-bila masa.

PAS Sarawak dengan kerjasama PAS Pusat kerap mengadakan beberapa sesi kursus ke arah menguasai ilmu dan selok-belok pilihan raya. Sesungguhnya dengan kursus ini hanya boleh dicapai melalui kerja kuat yang berterusan dan menguasai pengurusannya.

Sering kita dengar seruan jihad yakni “perjuangan mempertahankan kemurnian Islam di peringkat diri, masyarakat dan negara”. Dalam menghadapi situasi hari ini, muslimat kena cenderung kepada jihad di bidang keilmuan dan kebajikan masyarakat. Muslimat mesti bersedia menyebarkan ilmu di samping menitikberatkan kebajikan masyarakat yang sedang mengalami kelompangan dalam bidang-bidang tertentu.

Insya Allah, PAS Sarawak tidak akan kekeringan dengan muslimat yang mempunyai tahap pencapaian akademik yang membanggakan dalam segenap bidang keilmuan.

Dalam memainkan peranan menyebarkan ilmu kepada masyarakat, haruslah difahami bahawa menyampaikan ilmu itu juga bermatlamat menegak hukum-hukum Allah SWT dan juga bertujuan membetulkan akidah dan akhlak dari penyelewengan yang berlaku. Muslimat kena mengamalkan konsep “tawazun” yakni keseimbangan dalam rutin harian mereka. Perlu ada jadual untuk beriadah dan istirehat bersama suami dan anak-anak bahkan menziarahi ahli keluarga, jiran dan saudara-mara.

Sebenarnya, ketaatan kepada Islam akan menjadikan muslimat ibu yang baik, mendidik anak-anak dengan kecenderungan yang berpandukan kepada nilai-nilai Islam. Konsisten dalam mendisiplinkan anak-anak dan berdisiplin dalam mengamalkan jadual harian mereka. Tidak cukup dengan itu, muslimat haruslah sentiasa mendedahkan kepada anak-anak mereka kepada setiap aktiviti jemaah.

Janganlah membuat alasan bahawa rumahtangga dan anak-anak menghalang mereka daripada melibatkan diri dengan perjuangan Islam dan mendekati masyarakat. Sesungguhnya, dalam mengharungi kehidupan berjemaah, tidak kira siapa, mesti mempunyai keimanan yang kuat terpancar dari hati suci, keikhlasan yang padu terbit dari sanubari yang bersih, semangat yang tinggi serta kesediaan untuk bekerja dan berkorban dan amal yang digerakkan oleh keazaman yang teguh.

Dengan memiliki ciri-ciri yang sedemikian, insya Allah, muslimat akan terus ke hadapan, bergerak di tengah-tengah masyarakat sebagai satu wadah yang mewakili perjuangan untuk mengembalikan martabat umat yang terbaik dan berperanan sebagai pendidik dan pemimpin.

CIKGU SHOKRI AHMAD FAUZI
5 Mac 2017, Ahad
6 Jamadil Akhir 1438 – HARAKAHDAILY 5/3/2017