Jalan tidak rata, CAP gesa Kerajaan Pulau Pinang ambil tindakan segera

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah jalan yang tidak rata, berbonggol, pecah dan berlubang di beberapa laluan di negeri ini.

Advertisement

Keadaan tersebut bukan saja menimbulkan rasa tidak selesa dan kecewa di kalangan pengguna-pengguna jalan yang terlibat tetapi juga merasa bimbang kerana ia boleh mengancam keselamatan mereka jika masalah itu dibiarkan.

CAP kesal walaupun masalah tersebut sudah lama berlaku dan banyak rungutan oleh penduduk-penduduk di negeri ini tetapi tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan bagi mengatasinya.

CAP percaya jika kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak memberi perhatian serius terhadap perkara ini kemungkinan kejadian yang tidak diingini akan berlaku dan menimpa pengguna-pengguna jalan tersebut.

Antara jalan-jalan yang terlibat ialah di kawasan Bukit Gedung, Bayan Baru, Sungai Ara, Jelutong, Sungai Pinang dan sekitar Georgetown.

Dalam tinjauan yang dibuat, CAP mendapati jalan-jalan di kawasan tersebut berbonggol, pecah, tidak rata dan berlubang selepas ditampal oleh pihak kontraktor menyebabkan para pengguna terutama penunggang motosikal terpaksa mengelak malah kerap terlanggar keadaan jalan yang merbahaya itu.

Selain itu CAP turut menerima aduan dari orang ramai di mana jalan berhampiran tapak projek pembangunan yang sedang dalam pembinaan dicemari tanah dan pasir yang tumpah dari lori-lori yang mengangkut bahan tersebut.

CAP menegaskan, jika masalah ini berterusan para pengguna terutama penunggang motosikal yang melibatkan kakitangan awam, pekerja kilang dan pelajar sekolah yang sentiasa menggunakan jalan-jalan berkenaan akan terancam keselamatan mereka pada masa akan datang.

Justeru itu CAP berharap kerajaan Pulau Pinang dan MBPP memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya sebelum berlaku kemalangan.

SM MOHAMED IDRIS
Presiden CAP

j4

j3