4.1 juta belum daftar, SPR perlu tingkat sistem

PAS memandang serius pernyataan bahawa seramai 4.1 juta orang rakyat Malaysia yang telah layak tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Advertisement

Pengarah Jabatan Pillihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan sistem pendaftaran pemilih perlu dipertingkatkan.

Katanya, ia membawa risiko, kerana sejumlah yang besar di kalangan orang muda tidak akan dapat mengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Dan (kenyataan ini) jadikan mereka tak dapat mengundi pada PRU akan datang (kerana) lebih 90% adalah pengundi-pengundi muda yang tak berdaftar.

“Jadi, kita melihat terutama sekali mereka ini kurang komitmen (tidak) memikirkan bahawa satu kewajipan yang menyebabkan mereka tidak mendaftar,” jelasnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian pada program Temubual Mengulas Isu terbabit oleh HARAP TV, kelmarin.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat itu menyifatkan sistem pendaftaran yang diamalkan oleh SPR menyumbang kepada masalah tersebut.

“Sistem, pada saya yang dibuat oleh SPR yang menyukarkan belia, pemuda untuk mendaftar sebagai pengundi,” tegasnya.

Katanya, pelbagai permasalahan berlaku apabila SPR perkenalkan sistem mendaftar melalui pejabat pos.

“Yang pertama, kena datang ke pejabat pos. Yang kedua, mereka perlu pergi ke pejabat SPR dan kemudian ada operasi bergerak yang dibuat oleh SPR di atas permintaan dan juga mereka juga mengadakan pendaftaran di pasaraya.

“Pada saya, sistem ini masih tak cukup terutama isu pejabat pos. Di Dun saya tidak ada dan banyak Dun, Air Putih. Mereka terpaksa ke bandar, mereka terpaksa tinggal kerja, mereka terpaksa guna duit untuk pergi dan kesedaran tak begitu tinggi di kalangan pemuda-pemuda untuk berdaftar.

“Ini menjadi kesulitan, begitu juga dengan pejabat SPR jauh,” tegasnya.

Katanya, beliau tidak menafikan ada satu usaha yang dibuat oleh pihak SPR dengan melantik penghulu dan juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mendaftarkan pemilih.

Namun katanya, tindakan itu menjadikan SPR tidak adil dan berpihak.

“Bila JKKK (dilantik) tentu dia akan daftar hanya orang Umno sahaja dan jadi ia menyebabkan SPR berpihak. Bagaimana SPR boleh berpihak? Sedangkan Pegawai SPR, Pembantu Pendaftar Sementara (PPS) yang dilantik oleh SPR,” kata beliau.

Sebaliknya, dahulu kata beliau, SPR melantik PPS dari kalangan parti politik dan membenarkan Umno dan PAS sama-sama mendaftarkan ahli-ahli mereka.

“Dibenarkan kepada kita satu Dun, dua orang. Kalau ada 32 Dun, 64 orang PPS dilantik daripada kalangan parti politik. Di sebelah Umno boleh, PAS pun boleh. Di sini wujud keadilan dalam SPR, sistem ini kita tak pasti apa masalah (mengapa SPR tidak laksanakan)?“ soal beliau.

Menurutnya, PAS sudah lama mencadangkan agar pendaftaran pengundi dibuat secara atas talian (online) atau pendaftaran secara atomatik apabila sampai umur 21 tahun.