Jawatankuasa bertindak ditubuh kekang H5N1

KERAJAAN negeri menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Kawalan Penyakit Haiwan bagi mengekang avian influenza A, H5N1.

Advertisement

Ia melibatkan beberapa agensi kerajaan seperti polis, pihak berkuasa tempatan, jabatan perkhidmatan veterina dan lain-lain.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, ia bagi memantau penularan wabak itu.

Sehingga kini katanya, penyakit tersebut masih dalam kawalan pihak berkuasa yang melibatkan hanya satu kawasan.

“Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (JPV) sudah mengambil langkah awal selepas mengesan tiga kes berlaku di Kampung Pulau Tebu.

“Rakyat jangan panik serta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka bagi membasmi wabak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya di Kota Bharu bersama wakil Ketua Pengarah Veterinar Kelantan, Suratan Kamarudin.

Kes berkenaan yang mula dikesan pada 6 Mac lalu, melibatkan haiwan ternakan penduduk kampung seperti ayam, burung, itik dan lain-lain.

Manakala ayam komersil tidak terlibat dengan wabak berkenaan dan masih selamat untuk dimakan oleh masyarakat.

Seramai enam orang kakitangan makmal JPV yang terdedah secara langsung kepada bangkai ayam dikuarantinkan selama 24 jam.

Wakil JPV berkata, punca jangkitan berkenaan masih dalam siasatan selepas 170 haiwan tersebut dilupuskan. – HARAKAHDAILY 8/3/2017