Kudqi rayu sumbangan wakaf beli van

van

MAJLIS Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (Kudqi) merayu kepada tokoh korporat dan para dermawan bagi membantu pembelian sebuah van.

Advertisement

Kenderaan van yang dianggarkan berharga lebih RM100,000 amat diperlukan segera bagi kegunaan semasa Kudqi.

Ketua Majlis Perwakilan Mahasiswa Kudqi, Mohd Mursyid Zulkefle berkata, pihak pengurusan Kudqi amat memerlukan sebuah kenderaan van seperti yang dicadangkan itu.

Ini kerana, katanya bagi memudahkan kerja pengurusan pihak kolej (Kudqi) yang diasaskan oleh Allahyarham Datuk Harun Taib kini semakin berkembang maju.

“Cadangan untuk kami (persatuan) di Kudqi memiliki sebuah kenderaan van telah lama tetapi belum kesampaian. Kerja-kerja pengurusan di kolej ini semakin banyak dan berkembang maju.

“Kami mohon para dermawan dan orang ramai yang cintakan perjuangan pendidikan Islam dapat membantu pihak Kudqi ini,” ujarnya.

Menurut beliau, Kudqi merupakan sebuah institusi pengajian tinggi swasta di bawah jamaah Islam PAS yang perlu dibantu.

Pengetua Kudqi, Ustaz Wan Abdullah Wan Salleh menyokong penuh usaha yang dilakukan oleh pihak mahasiswa mendapatkan sebuah van tersebut.

Justeru, katanya semua pihak yang berkelapangan dari sudut kewangan dapat membantu pihak Kudqi ini.

“Kita semua sedia maklum, Kudqi ini diasaskan oleh Almarhum Ustaz Harun Taib, di bawah jamaah PAS.

“Saya amat menyokong usaha yang dilakukan oleh perwakilan mahasiswa Kudqi mengumpul dana untuk mendapatkan sebuah kenderaan khas (van). Marilah sama-sama kita membantu, insya Allah,” ujarnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat menyumbang bagi dana tersebut boleh disalurkan melalui akaun Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah, No. 1305302020984 Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atau menghubungi talian 09-615 6194 (pejabat).