RUU 355 bukan pintu belakang hudud – Asyraf Wajdi

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan pindaan RUU 355 merupakan laluan ‘pintu belakang’ kepada pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Advertisement

Ini kerana katanya, setiap undang-undang yang dipinda perlu melalui proses parlimen yang akan melalui peringkat demi peringkat.

“Soal hudud? Perlu prasarana yang betul-betul boleh bersedia. Kita belum ada 2/3 perlu pinda Perlembagaan Persekutuan. Umno, PAS, campur semua Amanah, Bersatu, termasuk dua DAP dan PKR, PBB baru 137 orang. Nak laksanakan hudud macam mana?” soal beliau.

Apatah lagi katanya, hendak memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah yang perlu meminda Perlembagaan Persekutuan dengan sokongan seramai 148 Ahli Parlimen sedangkan seramai 137 orang yang beragama Islam dengan andaian tidak ada persepsi.

“Andai semua MP Islam dapat hidayah daripada Allah untuk menyokong pindaan RUU355, itupun tidak cukup lagi kerana kita perlukan sokongan orang bukan Islam,” katanya di dalam Program Bicara Harakah Pasca  Himpunan 355 di MyHarakah Bazaar.

Justeru katanya, dalam konteks pada hari ini orang Islam perlu matang dalam berpolitik demi kepentingan umat Islam perlukan duduk bersama.

“Tidak ada agenda ‘udang di sebalik batu’. Jangan kita mendambakan apabila dapat kuasa terus buat semuanya.

“Kita seru kembali kepada perkara asas dan pokok. Apa, kenapa hendak pinda jangan buat andaian dan sentimen-sentimen yang boleh meruntuhkan keharmonian kita. Apa yang dicadangkan tidak keluar daripada Perlembagaan Persekutuan. Selagi mana tidak keluar tidak perlu kita timbul andaian. Kita cuba angkat martabat syariah,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 9/3/2017