SAM sokong perlindungan Hutan Simpan Ulu Muda

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menyokong gesaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) untuk segera melarang pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda dan mewartakan hutan simpan ini sebagai hutan tadahan air.
 
Dilaporkan baru-baru ini bahawa Jabatan Perhutanan Kedah telah mengeluarkan arahan berhenti kerja kepada syarikat yang menjalankan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda di Sik selepas ia didapati melanggar syarat lesen pembalakan. Akhir-akhir ini papan tanda yang menunjukkan lesen untuk mengambil hasil hutan dari beberapa kompartmen di Hutan Simpan Ulu Muda juga didapati terpacak di sini.
 
Kawasan Ulu Muda terdiri daripada beberapa hutan simpan, yang terbesar merupakan Hutan Simpan Ulu Muda. Hutan-hutan di Ulu Muda memainkan peranan penting sebagai kawasan tadahan air bagi Empangan Ahning, Pedu dan Muda yang membekalkan air minuman kepada Kedah (termasuk Langkawi), Pulau Pinang dan Perlis.
 
Kira-kira 96% bekalan air Kedah, 80% bekalan air Pulau Pinang dan 50% bekalan air Perlis berasal dari hutan Ulu Muda. Skim pengairan Muda di Kedah, yang menyumbang kira-kira 40% daripada jumlah pengeluaran beras Malaysia, juga amat bergantung kepada sumber air dari hutan Ulu Muda.
 
Malangnya kepentingan Ulu Muda sebagai tadahan air diabaikan dengan terus membenarkan pembalakan di kawasan ini. Tambahan pula bukan keseluruhan Hutan Simpan Ulu Muda diklasifikasikan sebagai hutan tadahan air. Beberapa hutan simpan di sini telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal untuk kedua-dua tujuan pengeluaran dan perlindungan.
 
Dengan membenarkan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda, peranannya sebagai tadahan air terjejas teruk dan menggugat jaminan air kerana tanpa fungsi menyimpan air dan fungsi penapisan hutan semula jadi, hujan akan berkurangan dan hujan tidak akan ditadah dan disimpan.
 
Kemarau di negeri-negeri utara Semenanjung pada 2016 telah menyebabkan penurunan mendadak paras air di Empangan Pedu dan Muda. Kenyataan media PBAPP bertarikh 8 Mac 2017 mendedahkan bahawa kapasiti penyimpanan Empangan Muda adalah 60.3% pada 1 Januari 2017 dan ia telah menurun kepada 27.3% pada 7 Mac 2017. Ia adalah jelas bahawa penebangan hutan telah membawa kepada defisit air ini.
 
Berdasarkan perkara di atas, semua aktiviti pembalakan dan kuari di kawasan Ulu Muda mesti dihentikan serta-merta. Kerajaan tidak mesti keluarkan konsesi pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda . Kerajaan Persekutuan juga perlu menunaikan janji untuk membayar pampasan kepada Kerajaan Negeri Kedah kerana tidak pembalakan hutan Ulu Muda itu.
 
Memandangkan kepentingan hutan di sini sebagai hutan tadahan air, kami menyeru kepada Kerajaan Negeri Kedah untuk mewartakan keseluruhan Hutan Simpan Muda Ulu dan rizab hutan sekitarnya sebagai hutan tadahan air di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 kerana ia membekalkan air kepada Empangan Pedu, Muda dan Ahning.
 
Air adalah Kehidupan. Selamatkan Hutan.
 
SM MOHAMED IDRIS
Presiden Sahabat Alam Malaysia – HARAKAHDAILY 9/3/2017

Advertisement