Betul pada Korea Utara, tak tentu betul bagi kita

HUBUNGAN kita dengan Korea Utara tegang dan bertambah tegang. Kesnya warganya yang penting mati dibunuh di negara kita yang kita wajar kendali mengikut undang-undang kita.
     
Kaedah kita itu tidak disetujui olehnya. Ia mahu kes itu dikendali bersama. Kemahuannya tidak betul pada undang-undang kita. Tetapi yang tidak betul padanya dikiranya betul juga, seolah-olah yang betul itu dia, yang tidak betul ialah kita.
       
Macam-macam kenyataannya yang tidak diplomatik, tiada apa yang dapat dibuat melainkan persona non gratakan dutanya. Maka ia pun ambil tindakan sama pada duta kita.
      
Kemudian ada orang pentingnya yang penting bagi membantu penyiasatan tidak dibenarkan meninggalkan negara ini. Tindakan kita tidak salah pada peraturan kita, tetapi Korea Utara bertindak pula tidak membenarkan kaki  tangan kedutaan kita dan keluarga masing-masing serta warga kita di sana meninggalkan negara itu  bahkan mereka dijadikan tebusan di kedutaan. Terkurung mereka sehelai sepinggang.
     
Benarkan orang mereka yang tidak dibenarkan meninggalkan negara, barulah orang yang dijadikan tebusan itu dibebaskan.
      
Tindakannya melanggar susila diplomatik dan peraturan angtarabangsa.
       
Maka kita bertindak balas pula tidak membenarkan  warganya di sini meninggalkan negara ini.
       
Biasa bagi amalan diplomatik, tindakan terhadap sebuah negara itu tidak ikut sangat susila. Apabila duta diusir atas sebab tertentu, maka ia mengusir pula duta negara yang mengusirnya.
      
Sekarang orang kita tak boleh balik dan orang dia pun tak boleh tinggalkan Malaysia.
      
Orang kita yang tersekat itu tidak bebas keluar masuk tempat mereka tersekat. Tidak dipastikan mereka cukup bekalan makanan dan bagaimana kemudahan makanan dan persalinan mereka.
      
Kebimbangan kita ialah mereka putus bekalan makanan. Semasa tiada krisis dulupun mereka sukar untuk mendapatkan bekalan makanan. Makanan tak halal pun payah, yang halal lagi payah. Bagi mendapat ayam mereka terpaksa ke sempadan China yang beratus kilometer jaraknya.
       
Jika boleh dalam masa aman pun tiada orang kita yang tahan berada lama di sana.
      
Allah saja yang tahu payahnya mereka dan Allah saja yang dapat melepaskan mereka daripada masalah yang dihadapi.
      
Kepayahan yang orang  kita hadapi dipercayai tidak akan dirasai sangat oleh orang-orangnya yang tidak dibenarkan pulang. Kalaupun ada orangnya berlindung di kedutaannya, mereka tidaklah terkurung sangat. Tidak mungkin mereka sampai putus bekalan makanan.
        
Mungkin mereka terpaksa mencatu makanan. Tetapi catuan di sini mungkin tidak seteruk catuan biasa di negara itu.
        
Ada pun orang kita di sana tidaklah berapa orang sangat. Tetapi orang Korea utara yang berkhidmat di negara ini ramai. Bagi orang kita kalau boleh tidak mahu tinggal sesaat pun, tetapi bagi orang mereka jika boleh mahu tinggal di sini  selama-lamanya.
      
Menghantar mereka pulang adalah suatu hukuman berat, tetapi tidak dibenarkan pulang adalah rahmat.
      
Tindakan menyekat mereka pulang dipercayai sangat mereka suka, kerana di sini ibarat syuga.
      
Pada Korea Utara demi kepentingannya termasuk mengurung orang kita di kedutaan betul padanya sekalipun tak ikut aturan dunia. Tindakan kita yang sama ke atas orangnya tidak semesti betul kerana ia tidak mendera mereka yang tidak dibenarkan pulang.
      
Kita kena cari kaedah yang lain. Apa kaedahnya? Kita ramai ahli fikir dan  pakar strategis, biarlah mereka memikirkannya. – HARAKAHDAILY 11/3/2017

Advertisement