Teknologi telefon pintar permudah OKU penglihatan

TEKNOLOGI dengan OKU penglihatan pada hari ini tidak lagi boleh dipisahkan. Adanya pelbagai teknologi yang berasaskan maklumat atau dikenali sebagai Information Technology (IT) sebenarnya sangat membantu aktiviti harian atau pekerjaan seseorang OKU penglihatan.

Advertisement

Bermula dengan kepesatan dan pertumbuhan teknologi telefon pintar, computer peribadi PC atau laptop, netbook atau note book, bagi OKU penglihatan kepesatan yang berlaku tetap diperhati agar manfaat yang ada dapat dioptimumkan. Kepesatan dalam pembentukan yang pelbagai dari sudut reka bentuk mungkin tidak banyak boleh membantu.

Namun kepesatan yang berlaku sangat memberi kesan dari kepelbagaian software atau pengisian. Justeru, bagi seseorang OKU penglihatan, maklumat berkaitan perkembangan software dan kebolehgunaan (compairtability) dengan hardware atau perkakasan yang ada sangat diperlukan.

Apa jua software yang diguna sangat bergantung kepada keperluan dan kemampuan. Seberapa mampu akan saya kongsikan dalam tulisan ini setidak-tidaknya dapat memberi maklumat umum kepada para pembaca.

Teknologi dalam perkembangan telefon pintar.

Secara umumnya, persaingan dua gergasi telefon pintar iaitu Apple dan Android dilihat menawarkan kepelbagaian kepada para pengguna. Begitu jugalah bagi pengguna OKU penglihatan, persaingan kedua-dua gergasi pengeluar telefon pintar ini sangat signifikan.

Kedua-dua pengeluar telah cuba memenuhi kepelbagaian pengguna mereka termasuklah dari kalangan OKU penglihatan. Bagi kedua-dua pengeluar telefon pintar ini, masing-masing telah menyediakan satu pengisian pembaca monitor atau screen reader untuk pengguna masing-masing.

Bagi Android, satu pengisian yang dikenali sebagai Talk Back dibangunkan dalam perkakasan kebanyakan pengeluar yang menggunakan system Android.

Begitu juga pengeluar Apple melalui telefon pintar mereka seumpama IPhone. Bagi Apple, suatu software telah juga dibangunkan untuk kegunaan OKU penglihatan iaitu Voice Over.

Kedua-dua pengeluar operating system (OS) di atas punyai kelebihan dan kebaikan tersendiri. Dari segi harga, kebanyakan pengguna memilih sistem yang berasaskan Android.

Namun bagi mereka yang perlu bergantung kepada telefon pintar untuk melakukan pelbagai tugasan dan aktiviti, pengeluar yang berasaskan IO system yang dibangunkan Apple dilihat memenuhi keperluan tersebut.

Justeru para pembaca kini seharusnya telah punya satu maklumat umum kenapa ada Oku penglihatan yang menggunakan telefon berasaskan Android dan ada yang menggunakan telefon yang dikeluarkan oleh Apple. Bagi OKU penglihatan, ukuran kemewahan dalam memilih telefon pintar bukan pertimbangan utama.

Faktor keupayaan system telefon pintar itu sendirilah menjadi faktor utama untuk kami memilih mana-mana sistem atau telefon pintar.

Apa yang boleh disimpulkan, pihak pengkaji di luar sana sememangnya telah memberi suatu perhatian khusus kepada kelompok OKU penglihatan khususnya dan OKU secara umumnya. Lihat saja bagaimana syarikat Apple membangunkan system IOs mereka untuk disesuaikan dengan OKU pelbagai katagori.

Pada ruang yang akan datang, Insya-Allah saya akan berkongsi secara seimbas lalu bagaimana system dalam pengoperasian computer peribadi membantu seseorang OKU penglihatan. – HARAKAHDAILY 11/3/2017