PAS itu Tabligh dan Tabligh itu PAS

PAS diperli oleh zairil DAP, beliau cadangkan agar PAS menyertai jamaah Tabligh. Marah benar Zairil dengan PAS yang mengajak rakyat kepada Islam sehingga merasakan PAS tidak layak untuk berada dimedan politik dan sarankan agar PAS menyertai jamaah tabligh. Perli Zairil ini sebenarnya bukan sahaja tujuan memburukkan PAS malahan mengheret sama memburukkan jamaah tabligh.

Advertisement

Tabligh itu maksudnya “menyampaikan”, bukan “menyembunyikan”. Ia adalah salah satu sifat wajib Rasulullah saw. Ia juga menjadi kewajipan keatas semua yang beriman terutama golongan yang berilmu. Haram bagi yang mengetahui menyembunyikan ilmu, berdosa jika menyembunyikan apa yang terkandung didalam Islam. Ia adalah sifat yang wajib ada kepada para pendakwah. PAS Parti Islam, maka tak dinamakan jamaah Islam kalau tidak berdakwah, tidak dinamakan pendakwah kalau tiada sifat tabligh padanya.

PAS dibenci oleh orang seumpama Zairil ini kerana sifat tabligh yang ada padanya, PAS mengajak rakyat Malaysia supaya beramal dengan ajaran Islam termasuk didalam urusan berpolitik dan memerintah, mahunya siZairil supaya PAS tidak beramal dengan politik beragama sebagaimana umno juga mahukan PAS begitu sejak dulu, mahunya mereka supaya PAS juga sama seperti mereka berpolitik tanpa agama.

PAS tak mungkin jadi begitu, kerana PAS parti Islam, kalau PAS pisahkan Islam dari politik, maka tiada bezanya PAS dengan mereka, PAS tak pernah buang prinsip perjuangannya, walaupun lumat PAS dihina dan difitnah sejak dulu kerana tablighnya. Islam itu berkembang dan membiak dengan ‘tabligh’, jika tiada yang menyampaikan maka tiadalah Islam, begitu juga PAS yang membiak dan menjalar dengan ‘tabligh’. Tabligh adalah organ untuk PAS terus bernyawa, tanpa tabligh, tiadalah Parti Islam seperti PAS.

Lebih baik PAS sertai jamaah tabligh kata Zairil, pasti sahabat-sahabat saya dari jamaah tabligh akan mengucapkan Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar kalau sekira mereka membaca saranan Zairil. Mereka pasti gembira jika PAS menyertai mereka dan begitu juga kami pasti gembira jika mereka menyertai kami. Zairil lupa agaknya PAS dan jamaah tabligh adalah saudara kembar, kami seiras cuma ada sebutir tahi lalat pemanis sebagai pembeza, kami seperti tangan kanan dan kiri, saling membantu dan berdakwah demi Islam.

PAS tak kisah kalau dikatakan kami dari jamaah tabligh dan jamaah tabligh pun tak kisah kalau dikatakan mereka PAS sebab kami sejiwa, jiwa agama. Setiap kali kami berjamaah di Masjid atau surau, pasti kami berjumpa, solat berjamaah menyatukan hati kami, disini tempat kami saling bersenyum dan bersapa khabar, disinilah juga tempat jiwa kami bersatu untuk sama-sama membantu perjuangan Islam, perlu diingat jamaah tabligh bukan sahaja ada diseluruh Negara malahan dunia, sebahagian mereka telah mendaftar sebagai pengundi.

Jamaah PAS dan Tabligh sering berjamaah, kami tidak berjumpa lima tahun sekali, tetapi lima kali sehari. Kami bertemu dirumah Allah yang penuh barokah bukan dikelab malam sambil membotol, kami saling membesarkan Allah swt, mengajak sesama Islam supaya sentiasa sujud kepada Allah swt, InsyaAllah usaha kami pasti akan sampai kepada kemenangan yang dijanjikan Allah nanti, ketika sebahagian besar rakyat Malaysia sentiasa sujud kepada Allah sama ada ketika solat mahupun ketika berpolitik. “Benar” – HARAKAHDAILY 12/3/2017