SSM & BR1M: Pengurusan lemah, rakyat susah

KERAJAAN masih tidak mempunyai mekanisme bersepadu dalam mengenalpasti pendapatan diperolehi terutama oleh golongan peniaga ‘shadow economy’ yang dilihat menjadi punca sebenar kekurangan perolehan kepada negara.

Advertisement

Kesan dari itu, kerajaan mengenakan percukaian ke atas semua rakyat atau mengetatkan prosedur kepada rakyat atau peniaga berpendapatan rendah sebagaimana GST dan isu SSM dari kalangan pemohon BR1M baru-baru ini.

Lebih mengecewakan terdapat wakil rakyat kerajaan yang terus memperolokkan rakyat apabila situasi restoren dipenuhi pengunjung dijadikan ukuran kemampuan kewangan rakyat. Jika demikian, apakah bantuan dan data serta laporan berkaitan kemiskinan dalam negara satu pembohongan atau drama?

Apatah lagi, kebanyakan pemilik rekod SSM itu adalah kalangan yang menyahut kempen atau pogram pemilikan dianjurkan pihak kerajaan. Juga menunjukkan usaha mereka untuk berdikari yang sepatutnya semakin dipermudahkan.

Sewajarnya dengan segala syarat berkaitan pendaftaran dan lesen perniagaan, pengiklanan, premis, akaun dan seumpamanya telah membolehkan kerajaan mengesan golongan jutawan senyap dari perniagaan ala ‘shadow economy’, disamping penguatkuasaan oleh agensi berkaitan.

Melaluinya, kerajaan bukan sahaja akan memperolehi hasil sepatutnya yang sengaja ‘dielakkan’, tetapi juga menangani pelbagai muslihat dan kegiatan haram dalam perniagaan serta mengekang gugatan berkaitan jenayah dan keselamatan.

Ketika sama kerajaan dapat menghapuskan percukaian kepada golongan miskin terutamanya yang sepatutnya dibela dari hasil kekayaan negara. Inilah diajar Islam iaitu mengambil dari golongan kaya untuk diagih kepada golongan miskin dan memerlukan.

Ia juga sebagaimana saranan PAS iaitu mengambil dari Cukai Keuntungan Modal (Capital Gain Tax) ke atas golongan korporat dan peniaga dalam mengurus penyelesaian berkaitan yang terdahulu pernah diajukan dalam Dokumen Hijau.

USTAZ NURUL AMIN ABDUL HAMID
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY  12/3/2017