Masa mempersada politik dakwah

PAS tidak boleh memisahkan antara dakwah dan politik, sebaliknya wajib memperkenalkan caranya khusus di akhir zaman yang menyaksikan kegagalan idealogi-idealogi dari Timur dan Barat.

Advertisement

Presiden PAS, Datouk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pada abad lalu dunia menyaksikan keruntuhan Komunis dan Sosialis, diikuti kini merudumnya Liberal dan Kapitalisme.

Ujar beliau, idealogi tersebut telah menyalahgunakan kekayaan dan kekuasaan melalui pemisahan kehidupan dari hubungan dengan Allah dan tidak ada perhitungan dosa serta pahala.

“Islam menjadikan ada perhitungan dosa dan pahala, menyebabkan seseorang Islam yang patuh kepada agama dia tidak berani bukan sahaja meninggalkan solat, termasuk meninggalkan hukum-hukum berkaitan pemerintahan negara,” ujarnya pada Majlis Makan Malam dan Dialog Politik di Setiawangsa di sini 11 Mac baru-baru ini.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat yang bertujuan mengumpul dana.

Terdahulu dalam ucapannya itu Tuan Guru menegaskan kewajipan menjadikan al-Quran sebagai petunjuk daripada Allah kepada seluruh urusan manusia hingga hari kiamat.

Oleh itu serunya, mesti berperanan mengajak manusia kepada Islam tanpa memaksa kerana manusia mempunyai akal dan fikiran sendiri.

Seruan itu jelasnya, sama ada mereka menganut Islam atau menerima pemerintaham Islam yang adil terhadap semua di mana perkara itu termasuk takwa iaitu mengikut perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

Semua amalan termasuk politik akan disoal oleh Allah pada hari kiamat, akan dihisab dan dikira, sehingga kita dengan rakyat yang bukan Islam pun dikira Allah.

Diucap oleh Nabi SAW, “Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam (yang berada di bawah pemerintahan Islam), dia menyakiti aku sendiri. Aku akan menjadi penyoal, pembela dan pembantahnya pada kiamat kelak”,” ujarnya menunjukkan teladan yang menjadi pegangan PAS. – HARAKAHDAILY 13/3/2017