Orang lama pesan jangan fitnah PAS

SELURUH PAS diingatkan agar tidak mengharapkan balasan daripada mahkluk atas apa yang telah mereka berikan kepada jemaah ini kerana mahkluk itu bersifat lemah.

Advertisement

Manusia semestinya berharapkan hanya kepada Allah kerana tiadalah balasan yang paling baik dan mulia yang diperolehi melainkan balasan daripada Allah.

Namun begitu, sebagai insan yang mempunyai adab dan sopan, seharusnya kita membalas jasa baik sesama mahkluk yang telah membantu kita dalam kehidupan ini, apatah lagi dalam perjuangan menegakkan agama Allah.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada para assabiquun di Dun Bukit Payong yang mana suatu waktu dahulu, telah mencurahkan khidmat bakti bagi menghidupkan jemaah ini, baik dalam pilihan raya, mahupun di luar pilihan raya.

“Saya berpesan kepada semua, agar tidak mengharapkan balasan daripada manusia kerana paling kuatpun, manusia hanya memuji kebaikan dan kehebatan kita atau memberi hadiah.

“Tetapi balasan daripada Allah di akhirat itu kekal abadi, jadi apa yang telah kita korbankan, janganlah kita ungkit, semoga pahala itu berkekalan,” kata Ahli Dewan ndangan Negeri (Adun) Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Himpunan Assabiquun Dun Bukit Payong di Madrasah Darul Iman, Titian Baru, Marang kelmarin.

Jelas beliau lagi, akibat daripada mengharapkan balasan daripada manusia inilah yang menjadikan sebahagian ahli kecewa kerana tidak memperolehi apa yang mereka idamkan, dan seterusnya melangkah keluar dari jemaah.

Assabiquun adalah perkataan arab yang menggantikan perkataan veteran, yang diilhamkan oleh Presiden PAS sendiri kerana ia ada disebutkan di dalam al-Quran.

Dalam majlis yang dihadiri lebih 200 orang lama di Dun Bukit Payong itu, mereka diraikan dengan jamuan serta cenderahati.

Turut hadir ialah mantan Adun Bukit Payong, Ustaz Baharuddin @ Ismail Mohd yang juga dipilih oleh jawatankuasa sebagai tokoh assabiquun Bukit Payong serta Pengerusi Assabiquun PAS Marang, Haji Omar Mohammad.

Sementara itu, seorang tetamu yang ditemui, pesara guru, Puan Asmah Muhammad, 62, berkata beliau menyertai PAS semenjak dari kecil kerana keluarganya sememangnya ahli PAS.

Oleh itu, beliau tidak merasa tergugat dengan fitnah-fitnah luar yang mencaci PAS kerana berpegang kepada prinsip PAS itu sendiri yang dari dahulu lagi mendasarkan perjuangannya untuk menegakkan Islam.

“Tidak ada nampak perubahan (PAS) ke arah lain, semenjak daripada dahulu, itulah arahnya.

“Mungkin hanya rekaan sahaja yang mengatakan PAS telah berubah ataupun terpengaruh dengan material, dengan orang lain ke, atau dengan sebab mereka merasa kecewa kerana tidak dipilih,” tegas beliau.

Bagi beliau, PAS boleh berubah mengikut keperluan semasa agar tidak dilihat jumud, dan juga untuk menarik sasaran dakwah, tetapi perubahan itu beliau yakin tidak menggelincirkan dasar PAS iaitu al-Quran dan hadis.

Seorang lagi tetamu Hasmah Kassim, 75, turut bersetuju dengan pandangan Cikgu Asmah, beliau ada membaca fitnah, cacian dan kejian kepada PAS tetapi tidak mempercayainya.

“PAS ni sudah sentiasa difitnah, dan sebab kita yakin yang PAS ini mahu bawa Islam.

“Kajilah semula, dan ingatlah ketika duduk di dalam PAS dahulu, janganlah diikut perasaan sangat, hendaklah kita bertunjang kepada Islam,” pesan beliau kepada mereka yang suka membuat atau mendengar cerita fitnah kepada PAS.