Kenyataan menteri sekadar persepsi murahan

SEJAK dilantik sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Bandar dan Wilayah sudah acap kali Datuk Ahmad Jazlan Yakob membuat kenyataan yang tidak mencerminkan kewibawaannya.

Advertisement

Terbaru beliau dilapor mendakwa peningkatan HIV di negeri itu berpunca hubungan seks rambang.

“Perkara itu berlaku kerana kegagalan kerajaan negeri di bawah pentadbiran ulama,” katanya.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi mempersoalkan adakah timbalan menteri terbabit mendapat statistik yang sahih daripada agensi berkaitan.

Katanya beliau bimbang pemimpin terbabit tidak mendapat maklumat jelas dari Jabatan Kesihatan sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Kalau dirujuk beberapa kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Kelantan itu sebelum ini ia dibuat sekadar mahu mencetus persepsi murahan tanpa ada sokongan fakta yang kukuh.

“Mungkin berlaku satu kejutan seorang yang tidak dikenali tiba-tiba dilantik sebagai timbalan menteri, terkial-kial mencari isu ketika berdepan dengan media,” katanya.  

Beliau juga berkata, Kelantan sejak lebih 26 tahun lalu mengekang gejala sosial dengan menutup premis-premis hiburan dan pusat perjudian. – HARAKAHDAILY 14/3/2017