Kronologi RUU355

19 Mac 2015
Ahli Parlimen (MP) Marang, Tuan Guru Abdul Hadi Awang menghantar notis kepada dewan rakyat untuk membentangkan usul persendirian berkaitan rang undang-undang pindaan akta mahkamah syariah bidang kuasa jenayah (RUU355). Ia merupakan kali ketiga dikemukakan kepada pihak parlimen sejak dahulu.

Advertisement

7 April 2015
Usul persendirian MP Marang berhubung RUU355 disenarai dalam aturan usul mesyuarat dewan rakyat pada turutan ke-26. Namun atas alasan kesuntukan masa dan mendahulukan usul-usul kerajaan, usul persendirian itu tidak sempat dibentang.

4 Jun 2015
Empat individu telah mengemukakan saman pemula terhadap Presiden PAS berkait RUU355 ini. Dua daripada mereka ialah peguam Mansoor Saat dan Azira Aziz manakala dua lagi aktivis kebebasan Hazwany Jamaluddin dan Hasbeemaputra Abu Bakar. Mereka diwakili oleh peguam bernama Siti Zabedah Kasim, aktivis Bersih dan pejuang LGBT dan juga peguam Farez Jinnah.

Saman dikemukakan memohon Pemberitahu Usul untuk Rang Undang-Undang Pindaan Akta 355 ini ditolak daripada dibentangkan oleh Tuan Speaker kerana ia adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan, penyalahgunaan proses sistem legislatif kerana cara yang tidak betul dan kerana hak-hak wanita, penganut bukan Islam dan seterusnya prinsip keadilan Islam yang sebenarnya juga akan terjejas.

Mereka menamakan empat defendan selain Tuan Guru Abdul Hadi iaitu Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin bin Hj Mulia dan dua Timbalannya Datuk Ronald Kiandee dan Datuk Ismail Mohamad Said.

8 Jun 2015
Empat orang individu yang menyaman Presiden PAS itu telah menuntut injuksi dari mahkamah bagi menghalang usul persendiriannya dibawa ke dewan rakyat.

17 Jun 2015
Usul persendirian MP Marang sekali lagi disenaraikan. Ia berada pada turutan ke-16 aturan usul mesyuarat dewan rakyat. Namun kerana terdapat injuksi daripada mahkamah, ia tidak dapat dibentang.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan 18 Jun 2015 sebagai tarikh pendengaran kes. Susulan daripada itu, RUU355 tidak dapat dibawa ke parlimen sehingga kes selesai.

2 Julai 2015
Pihak defendan diwakili peguam Datuk Sulaiman Abdullah dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan memfailkan permohonan awal membantah saman pemula itu atas alasan pemohon sepatutnya memfailkan permohonan itu melalui semakan kehakiman dan bukan saman pemula. Ini kerana mereka mencabar berhubung proses membuat keputusan oleh pihak berkuasa awam seperti Parlimen. Jadi, menyerang proses membuat keputusan perlu melalui semakan kehakiman di bawah Perintah 49 Perintah Tetap Parlimen.

Tuan Guru turut mendakwa saman pemula yang difailkan keempat-empat pemohon itu juga tidak mempunyai merit dan sebagai anggota Dewan Rakyat, beliau mempunyai hak keistimewaan serta imuniti. Beliau juga diwakili oleh peguam Datuk Takiyudin Hasan, Setiausaha Agung PAS.

9 Nov 2015
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati bahawa tindakan Presiden PAS mengemukakan usul persendirian ini adalah tidak bercanggah dengan undang-undang. Justeru mahkamah membuat keputusan membenarkan permohonan pembatalan saman pemula yang dikemukakan oleh empat individu sebelum ini.

24 Nov 2015
Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi mewakili Perdana Menteri, menyuarakan hasrat agar Majlis Perundingan Islam (MPI) dihidupkan semula mulai 2016. Penubuhan MPI merupakan kesinambungan daripada penyusunan semula Badan Perundingan Islam (BPI) yang pernah wujud sejak tahun 1982. BPI bertindak sebagai jawatankuasa pemikir yang berperanan sebagai penasihat kepada kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan terhadap agenda pembangunan negara khususnya dalam perkara pengurusan hal ehwal Islam disamping penambahbaikan taraf mahkamah syariah.

11 Februari 2016
Mesyuarat kali pertama Majlis Perundingan Islam (MPI) bagi 2016 berlangsung. Ia dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga pengerusi MPI Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Mesyuarat telah bersetuju membentuk tujuh kluster khusus berperanan sebagai kumpulan pemikir yang boleh memberi idea, cadangan dan membantu kerajaan melaksanakan agenda pembangunan negara menurut landasan syarak. Setiap kluster menggabungkan tokoh daripada pelbagai latar belakang meliputi ahli agama, ahli akademik, tokoh korporat dan pemimpin badan bukan kerajaan. Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din dilantik sebagai Ketua Kluster Dakwah MPI, selain Tan Sri Muhamad Ali Hashim (ekonomi), Tan Sri Prof Dr Kamal Hasan (pendidikan), Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (sosial), Prof Datuk Seri Zaleha Kamarudin (undang-undang), Datuk Dr Siddiq Fadzil (pemikiran Islam) dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (politik).

7 Mac 2016
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah mahu langkah-langkah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan Mahkamah Syariah, disegerakan. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal ke Empat, Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat.

10 Mac 2016
Presiden PAS membahaskan Titah Diraja dengan memetik dua perkara yang disentuh SPB YDP Agong iaitu Sokongan terhadap segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah dan juga seruan Yang di-Pertuan Agong agar hentikan berpolitik untuk kepentingan sempit. Tuan Guru menggunakan peluang itu untuk menerangkan tentang tasaswwur dan konsep syariat Islam dalam sistem pemerintahan berbekalkan nas al-Quran dan Hadith serta panduan sejarah dan undang-undang. Ucapan beliau mendapat respon dari berbagai pihak samada kerajaan mahupun pembangkang beragama Islam mahupun tidak.

26 Mei 2016
Usul persendirian disenaraikan pada turutan ke-15 dalam mesyuarat parlimen. Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menggunakan Peraturan Mesyuarat 14(2), mencadangkan usul Presiden PAS dinaikkan ke nombor satu.

Presiden PAS berjaya membacakan usul tersebut buat kali pertama. Ia merupakan usul persendirian pertama dari pembangkang yang berjaya dibacakan dalam sejarah dewan rakyat. Tetapi atas faktor keterbatasan masa, beliau meminta perbahasannya ditangguh ke mesyuarat akan datang.

26 Oktober 2016
Tuan Guru Presiden PAS sekali lagi mengambil peluang semasa sesi perbahasan RUU Perbekalan (Bajet) 2017 untuk menjelaskan lagi tentang syariat Islam dan kedudukan Islam dalam negara ini dari sudut sejarah dan perundangan. Beliau turut menyatakan kekesalan apabila usul persendirian berkaitan akta 355 dipertikaikan banyak pihak termasuk dari kalangan bukan Islam. Sekali lagi mendapat respon hangat dari ahli dewan rakyat berbagai posisi dan agama.

22 November 2016
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi memanggil semua ahli dewan rakyat beragama Islam ke sesi taklimat khas berkenaan RUU355. Ia diadakan di dewan taklimat bangunan Parlimen Malaysia. Sesi tersebut diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Ia turut dihadiri oleh Mufti Wilayah Persekutuan, SS Dato Dr Zulkifli al-Bakri. Ia bertujuan supaya ahli parlimen jelas akan proses yang bakal dilalui supaya pindaan berjaya dilaksanakan. Walaupun timbul berbagai soalan dan hangat, tetapi pada akhirnya ia berjaya diredakan dengan penjelasan dari pihak kerajaan.

24 November 2016
Presiden PAS telah meminda usul RUU335 dengan memasukkan had hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun, rotan tidak melebihi 100 sebatan dan juga denda tidak melebihi 100,000 ringgit. Oleh sebab usul yang dipinda ini berbeza dari usul sebelum ini, maka perbahasannya ditangguhkan untuk memberi lebih ruang kepada ahli parlimen untuk mengkaji mengikut konteks pindaan terbaru.

18 Februari 2017
Himpunan 355 (H355) dianjurkan di Padang Merbok, Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan rakyat terhadap usul RUU355. Ia dihadiri kira-kira 300,000 rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama dan fahaman. Himpunan tersebut boleh dikategorikan himpunan umat Islam terbesar atas nama pembelaan agama selepas peristiwa penubuhan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol dan peristiwa Natrah di Singapura.

Pada hari yang sama juga, diadakan himpunan anti RUU355 di kawasan yang berlainan. Kehadiran yang dilaporkan adalah sekitar 100 orang, rata-ratanya adalah kalangan orang bukan Islam. Antara orang Islam yang terlibat adalah pemimpin DAP, Datuk Zaid Ibrahim dan peguam Siti Zabedah Kasim.

6 Mac 2017
Semasa perasmian mesyuarat pertama Dewan Rakyat Penggal ke Lima Parlimen ke 13, SPB YDP Agong memberi isyarat jelas dalam Titah Dirajanya mahukan undang-undang Islam diperkasakan. Titah baginda: “Beta menyokong inisiatif yang dilaksanakan agar sebarang unsur penghinaan terhadap agama Islam dan institusinya di negara ini ditangani dengan kebijaksanaan dan ketegasan. Beta berharap langkah-langkah yang dilaksanakan dalam menangani penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada Islam melalui media massa dan laman web terus dipertingkatkan termasuklah meneruskan pemerkasaan undang-undang pentadbiran agama Islam. Pada masa yang sama, kesepakatan pemimpin-pemimpin Islam utama di negara ini adalah suatu yang amat baik dan dialu-alukan sebagaimana dalam menangani isu Rohingya di Myanmar”.

7 Mac 2017
RUU355 disenarai dalam aturan usul bagi mesyuarat kali ini pada turutan ke-7. – HARAKAHDAILY 14/3/2017