Kelantan warta 24 zon larangan merokok

KELANTAN akan mewartakan 24 zon larangan merokok tahun ini bagi mengurangkan aktiviti tidak sihat itu.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Negeri Kelantan, Datuk Dr Ramli Mamat berkata langkah itu sebagai usaha melindungi bukan perokok yang terkesan dari asap perokok.

Katanya, 24 zon berkenaan membabitkan semua jajahan di negeri ini bagi menjayakan program Inisiatif Bebas Asap Rokok (Ikbar).

“Mana-mana kawasan yang telah menjadi zon larangan merokok seperti Kota Darulnaim, Medan Ilmu,  hospital dan sebagainya akan diwartakan tahun ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kursus Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di Kompleks Kota Darul Naim.

Jelasnya, apabila zon itu diwartakan, mereka yang merokok dalam kawasan larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun.

“Buat masa ini, kita sedang mendidik masyarakat berhubung kesan asap rokok kepada kesihatan dan persekitaran menerusi ceramah dan edaran risalah,” katanya.

Datuk Ramli berkata peratusan kadar merokok di Kelantan juga menurun kepada 24.6% atau 300,000 orang tahun ini berbanding 27.3% pada 2006.

“Penurunan ini agak kecil dan kita harap usaha IKBAR mampu mengurangkan jumlah perokok sedia ada dengan sasaran penurunan 15% pada 2025,” katanya.

Pada 2014, Menteri Besar Kelantan Ustaz Datuk Ahmad Yacob mengisytiharkan Medan Ilmu di sepanjang Jalan Datuk Pati Kota Bharu sebagai zon eksklusif bebas asap rokok. – HARAKAHDAILY 15/3/2017