Najib perlu buktikan beliau tidak dera Kelantan

PERTUBUHAN Royalti (R)  Kelantan meminta Perdana Menteri membuktikan empat  perkara sebagai bukti beliau tidak mendera rakyat di negeri itu.
 
Presidennya, Nazri Deraman berkata, pihaknya mengalu-alukan ikrar Datuk Seri Najib Tun Razak yang beliau tidak mendera rakyat di negeri itu.
 
Bagaimanapun, tambahnya Najib perlu melaksanakan empat perkara sebagai bukti terhadap pengakuannya itu.
 
Katanya, pertama kerajaan BN perlu membayar royalti petroleum Kelantan mengikut peruntukan Akta Pembangunan Petroliam 1974.
 
“Kerajaan BN perlu mematuhi perjanjian royalti yang ditandatangani antara Petronas dengan Kerajaan Negeri Kelantan pada 9 Mei 1975.
 
“Kedua, kerajaan BN perlu mematuhi amanat ayahanda Tun Abdul Razak yang meminta royalti petroleum dibayar kepada negeri yang mempunyai telaga, termasuk ‘off shore’ luar 3 batu nautika.
 
“Tun Abdul Razak berkata demikian di Dewan Rakyat pada 12 November 1975.
 
“Ketiga, kerajaan Najib juga perlu melaksanakan perancangan-perancangan untuk Kelantan yang dibekukan sejak Rancangan Malaysia ke-5 (1986-1990),”ujarnya.
 
Nazri memberitahu, perkara itu berlaku setelah rakyat Kelantan memilih Angkatan Perpaduan Ummah secara demokrasi pada tahun 1990.
 
Tambahnya, kerajaan juga perlu melaksanakan titah Sultan Kelantan yang meminta royalti petroleum dibayar mengikut perjanjian (DUN Kelantan 16 Jun 2013).
 
Tambahnya, pada masa yang sama ia perlu didaratkan petroleum ke bumi Bachok sebagaimana yang disebut pada sidang Dun Kelantan 1 Mac 2012.
 
Royalti Kelantan membuat gesaan itu berikutan kenyataan Perdana Menteri ketika hadir ke Kelantan untuk merasmikan UTC Ahad lalu.
 
Menurut Perdana Menteri, beliau tidak pernah terfikir untuk mengikut jejak langkah seorang bekas Perdana Menteri yang berpendapat Kelantan wajar didera kerana menyokong pembangkang.

Advertisement

Najib menegaskan, sebaliknya beliau menggunakan pendekatan berbeza iaitu mentadbir negara dengan seadil mungkin tanpa meminggir atau membeza-bezakan mana-mana negeri. – HARAKAHDAILY 15/3/2017