Wabak H5N1 belum jangkiti manusia – Exco

WABAK selesema burung (H5N1) yang melanda Kelantan sekarang belum lagi menjangkiti manusia, kata anggota Exco kerajaan negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Advertisement

Bagaimanapun katanya bagi mengelakkan wabak itu menular Kelantan diisytiharkan sebagai bencana dan diletakkan di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya juga kerajaan negeri sentiasa memastikan tindakan sebaik mungkin diambil bagi mengawal wabak tersebut.

“Namun pada masa yang sama daging ayam masih selamat dimakan dengan syarat hendaklah dimasak lama untuk menjaminkan keselamatan,” katanya di Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.

Virus H5N1 dikesan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong pada 6 Mac lalu berikutan beberapa ekor ayam kampung ditemui mati.

Che Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau berkata, sehingga kini empat jajahan terbabit gejala itu.

Katanya jajahan Bachok dan Pasir Puteh antara yang terbaru dikesan berbanding di Kota Bharu dan Pasir Mas sebelum ini.

“Sebanyak 23 kampung disahkan sebagai pembawa virus tersebut, di mana 18 kampung di Kota Bharu.

“Sehingga kini lebih 24,768 unggas telah dihapuskan sebagai langkah pengawalan penularan wabak itu tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2017