Adakah penyelenggaran pesawat ikut SOP?

USIA sesebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bukanlah menjadi keutamaan tetapi yang paling penting adalah sistem penyelenggaran yang baik, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum.

Advertisement

Beliau turut memberi contoh helikopter Nuri yang sudah sekian lama digunakan di dalam TUDM tetapi sehingga hari ini pesawat itu masih boleh digunakan dengan baik.

“Helikopter Nuri yang sekian lama kita boleh guna sampai sekarang ini, kerana kita selenggara dengan baik,” kata beliau ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Ahmad Baihaki Atiqullah di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, pesawat yang baru dibeli beberapa tahun yang lalu misalnya EC725 telah mengalami masalah teknikal menyebabkan ia tidak boleh terbang.

“Jadi kita tidak boleh tentukan jika kapal terbang baru pasti tidak berlaku masalah. EC725 itu yang baru tetapi tercabut sayap semasa penerbangan,” katanya.

Terdahulu di dalam soalan tambahan, Baihaki membangkitkan soal umur pesawat yang sudah lama antara faktor yang menyebabkan berlakunya nahas seperti mana kejadian yang berlaku di Pulau Pinang penghujung tahun 2016.

“Adakah sistem penyelenggaran pesawat itu bertepatan ataupun mengikut SOP yang ditetapkan dan apakah langkah-langkah terbaik kerajaan untuk mengurangkan risiko kemalangan nahas supaya tidak berulang lagi,” katanya.

Di dalam soalan asal Baihaki meminta Menteri Pertahanan menyatakan apakah hasil laporan siasatan tragedi nahas pesawat TUDM jenis Beechcraft yang terhempas di Butterworth Pulau Pinang pada penghujung tahun 2016. – HARAKAHDAILY 16/3/2017