Wabak H5N1 di Kelantan terkawal – menteri

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani mengesahkan wabak H5N1 yang melanda Kelantan melibatkan ayam, itik dan ternakan lain masih terkawal.

Advertisement

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sebanyak enam kawasan di negeri tersebut ditemui penyakit yang melibatkan 28,000 ternakan dilupuskan.

Katanya, kira-kira 184 petugas yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Kesihatan, Rela dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikerahkan bagi tujuan itu.

“Usaha pelupusan dibuat sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan wabak H5N1 ini daripada terus menular ke kawasan lain,” katanya selepas mendengar taklimat JPV Kelantan di Kota Bharu petang tadi.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan pegawai Kementerian Pertanian.

Shabery juga berkata, apa yang penting kerjasama penduduk untuk menyalurkan maklumat kepada pihak bertanggunjawab termasuk polis.

“Jika orang ramai mendapati tanda-tanda penyakit itu pada ayam mereka dan ada ayam mati perlu dilaporkan bukan mengambil tindakan sendiri.

“Kerana kita bimbang ia boleh memberi kesan alam sekitar. Dan sehingga sekarang tidak ada tanda-tanda jangkitan kepada manusia,” ujarnya.

Beliau juga memberi jaminan membawa masalah tersebut pada mesyuarat kabinet esok.

Kata beliau juga kerajaan mempunyai inisiatifnya tersendiri bagi mengurangkan kerugian penternak sekiranya haiwan mereka terpaksa dilupuskan.

“Pampasan juga dibayar kepada penternak, bagi ayam dan itik sekitar RM9 hingga RM10 seekor. Burung puyuh pun ada bayaran,” katanya.

Beliau turut meminta supaya sebarang pertandingan melibatkan unggas dihentikan sementara sehingga Kelantan diisytiharkan bebas H5N1. – HARAKAHDAILY 16/3/2017