OKU, usah sekadar bangga

PERASAAN saya bukan sahaja girang, bahkan pelbagai rasa yang tak mampu diungkap bila seorang demi seorang pelajar-pelajar OKU diketengahkan sebaik keputusan cemerlang mereka perolehi dalam peperiksaan masing-masing. Hanya lafaz syukur dan kata-kata memuji dan memuja Allah S.W.T sahajalah mampu diungkapkan sebagai meluahkan rasa girang di hati.

Advertisement

Terbaru dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), adik MUHAMMAD Qayyim Nizar Sarimi sekali lagi muncul dengan keputusan cemerlang yang tersendiri. Beberapa minggu lepas, adik Ahmad Faiz sekian kalinya telah mengejutkan masyarakat dengan keputusan cukup cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Tahniah buat ibu bapa mereka yang berjaya menyerlahkan potensi dan keupayaan mereka berdua yang masing-masing merupakan seorang OKU penglihatan dan OKU terlantar.

Saya cukup rasa gembira setiap kali bertemu dengan bapa kedua-dua mereka iaitu Sarimi Yusoff dan mutakhir ini Ustaz Ibrahim Yunus. Sungguh dapat saya rasakan, bagaimana pengorbanan kedua orang tua saya membentuk diri saya, demikianlah cukup hebat sebagai seorang bapa yang tabah, pengorbanan mereka bersama pasangan masing-masing membesar dan mendidik seorang anak OKU hanya Allah S.W.T sahajalah yang sebenar-benarnya tahu.

Dalam ruang ini, saya akan membawa perhatian para pembaca kepada keperluan yang wajar kita fikirkan bersama agar cerita-cerita hebat ini tidak hanya sifatnya bermusim dan timbul pada waktu-waktu tertentu. Telah memadai pelbagai kisah suka duka tokoh-tokoh istimewa ini dipaparkan dalam pelbagai media dan ruang kesempatan.

Jika dihalusi, Allah S.W.T telah bekalkan setiap anak OKU itu dengan keupayaan dan potensi yang tersendiri. Senarai sahajalah apa kecacatan atau ketidakupayaan yang dialami, sudah tentu pasti ada kurniaan Allah S.W.T pada setiap individu OKU tersebut. Hal inilah yang seharusnya difikirkan oleh setiap dari anggota masyarakat, terutamanya mereka yang berada pada tampuk kekuasaan pada mana peringkat sekalipun.

Bagi mengenal pasti pelbagai keperluan dan potensi individu OKU, ia bukanlah semudah yang disangkakan. Bermula dari memahamkan ibu bapa dan keluarga OKU, ia akan berkembang kepada penyediaan pelbagai system sokongan dalam masyarakat agar setiap keperluan dan potensi OKU itu dikenal pasti.

Setiap kali hal ini kami timbulkan, jawapan seragam yang diterima, “Bukankah telah ada NGO-NGO untuk OKU?”. Untuk makluman pembaca dan kalian di luar sana, apa yang saya bangkitkan di atas bukanlah sekadar tanggungjawab NGO-NGO yang ada. Ia lebih dari itu.

NGO-NGO berkaitan OKU boleh saja menjadi badan-badan pelengkap kepada usaha mencukupkan keperluan dan pembinaan potensi OKU. Lebih dari itu, usaha ini harus dirintis dan diselenggarakan secara penuh perencanaan oleh satu badan yang dibentuk khusus oleh pihak kerajaan.

Dengan adanya unit pembangunan OKU dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Kebangsaan OKU di bawah Yang Berhormat Menteri, kewujudannya tetap memberi manfaat dan faedah yang tersendiri. Namun ia masih tidak memadai bila keperluan dan usaha pengupayaan OKU itu masih berada atas kertas dan tidak mendasari rakyat terbawah.

Begitu juga usaha ini bukan hanya wajar dibincangkan di peringkat persekutuan, pihak berkuasa di pelbagai peringkat termasuklah di negeri-negeri tidak boleh bersikap lepas tangan dan memberi alasan itu bukan bidang kuasa mereka. Dengan unjuran 15% penduduk terdiri dari OKU, hal menyediakan sistem sokongan bagi membina keperluan dan pengupayaan OKU ini wajib diberi perhatian yang lebih serius oleh pihak berkuasa.

Dalam satu pertemuan saya dengan wakil-wakil OKU peringkat Asian, satu kajian kasar juga telah dinyatakan bagaimana hanya 3% dari ahli-ahli politik di Asia Tenggara mengetahui isu-isu yang didepani oleh komuniti OKU. Kajian ini tentunya sangat tidak memberangsangkan memandangkan ahli-ahli politiklah yang menentukan dasar dan perundangan melalui dewan-dewan perundangan.

Tidak hairanlah selain Incheon Strategi 2013-2022 yang ditandatangani oleh menteri-menteri serantau, terbaru dalam Sustainable Development Goal SDG memberi penekanan khusus berkaitan penyertaan OKU dalam proses membuat keputusan dan politik. Semuanya mengambil kira betapa suara komuniti OKU itu perlu mengambil tempat dalam proses perencanaan dan penyeddiaan dasar, perundangan serta pelaksanaan. Penyertaan suara-suara OKU ini dilihat sangat signifikan agar setiap dasar dan perundangan bertepatan dengan keperluan dan keupayaan OKU pelbagai kategori.

Harapan saya dengan kefahaman para pembaca melalui tulisan ini, pemikiran kita akan lebih terarah kepada pembinaan sistem sokongan sosial yang lebih menyeluruh berbanding sekadar rasa bangga dan teruja dengan keputusan-keputusan cemerlang dari pelajar-pelajar OKU. Bukanlah salah untuk kita rasa bangga dan girang dengan pencapaian pelajar-pelajar OKU, lebih dari itu kesungguhan masyarakat dan pihak berkuasa merencana dan melaksanakan perancangan yang lebih menyeluruh buat OKU itulah yang akan lebih bermakna.

Pelbagai penegasan dalam Al-Quran dan tauladan dari junjungan Rasul Allah S.A.W telah cukup sebagai panduan bagi membolehkan kita merencana dan melaksanakan usaha mengadakan sistem sokongan yang bersesuaian. Apatah lagi ianya juga telah dibuktikan melalui pelbagai instrument perundangan di pelbagai peringkat sama ada antarabangsa, serantau mahupun domestik.

Ayuh, bersedialah Malaysia untuk membina sebuah masyarakat dan negara bangsa yang sifatnya mesra OKU! – HARAKAHDAILY 17/3/2017