Hukum lelaki pakai cincin di jari tengah

AL-KAFI #587: HUKUM LELAKI MEMAKAI CINCIN DI JARI TENGAH
Ditulis oleh Syed Husaini Syed Hassan
Diterbitkan: 17 Mac 2017

Advertisement

Soalan: Bolehkah seorang lelaki memakai cincin di jari tengahnya?

Jawapan:

Cincin adalah perhiasan bagi lelaki namun bukanlah semua jenis cincin itu boleh dijadikan perhiasan buat lelaki. Dibolehkan bagi lelaki untuk memakai cincin yang diperbuat daripada perak bahkan di dalam mazhab al-Syafi’e ianya disunatkan. Begitu juga dibolehkan untuk lelaki memakai cincin daripada batu permata, zamrud, zabarjad dan `aqiq. Adapun memakai cincin emas bagi lelaki, ianya adalah haram dan ini berdasarkan hadis Nabi SAW. Daripada Abu Hurairah RA:

أنَّهُ نَهَى عَنْ خَاتَمِ الذَّهَبِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas.
Riwayat Muslim (2089)

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan bahawa telah berijma` sekalian muslim akan keharusan perempuan untuk memaikai cincin emas dan telah berijma` juga akan pengharaman buat lelaki bagi memakai cincin emas.[1]

Memakai Cincin di Jari Tengah

Di dalam sebuah hadis riwayat Muslim, `Ali bin Abi Talib RA telah berkata:

نَهَانِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ أَتَخَتَّمَ فِي إِصْبَعِي هَذِهِ أَوْ هَذِهِ‏.‏ قَالَ فَأَوْمَأَ إِلَى الْوُسْطَى وَالَّتِي تَلِيهَا

Maksudnya: Rasulullah SAW menegahku dari memakai cincin pada jari ini dan ini (sambil menunjukkan kepada jari tengah dan selepasnya iaitu jari telunjuk[2])
Riwayat Muslim (2078)

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah mengatakan bahawa telah ijma` sekalian muslimin akan sunnah memakai cincin pada jari kelinking bagi lelaki dan bagi wanita pula, boleh dikenakan pada mana-mana sahaja dari jarinya. Adapun tegahan Nabi SAW pada hadis di atas membawa hukum makruh tanzih dan dibolehkan untuk mengenakan cincin pada tangan kanan ataupun kiri kerana pada keduanya itu terdapat hadis yang sahih.[3]

Begitu juga di sisi mazhab Hanbali, makruh hukumnya memakai cincin di jari tengah dan juga jari telunjuk berdasarkan tegahan Nabi SAW melalui hadis di atas. Adapun yang zahir dari mazhab Hanbali, tidak dimakruhkan untuk memakai cincin pada ibu jari dan juga jari manis. Ini seperti mana yang disebutkan di dalam kitab Kashaf al-Qina` dan Matalib Uli al-Nuha

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, maka hukum bagi lelaki memakai cincin pada jari tengah (hantu) dan juga telunjuk adalah makruh tanzih dan yang sunnahnya adalah dengan memakai pada jari kelinking dan menurut mazhab Syafi’e tidak kisah sama ada memakainya pada tangan kiri ataupun kanan[4].

Sebaiknya pemakaian cincin pada jari tengah dan telunjuk harus dielakkan dan bagi lelaki di luar sana yang ingin memakai cincin, maka bolehlah memakainya pada jari kelinking ataupun jari manis.

Jika ditanyakan bagaimana caranya Nabi SAW memakai cincinnya? Maka jawapannya seperti mana di dalam sebuah hadis riwayat Anas bin Malik RA, beliau menyebutkan:

كَانَ خَاتِمُ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فِى هَذِهِ. وَأَشَارَ إِلَى الْخِنْصَرِ مِنْ يَدِهِ الْيُسْرَى

Maksudnya: Adalah Nabi SAW memakai cincin pada jari ini (sambil menunjukkan ke arah jari kelinking pada tangan kirinya)
Riwayat Muslim (2095)

Wallahu a`lam.

[1] Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-Islami, (14/65)
[2] Diketahui bahawa jari yang ditunjukkan oleh `Ali RA selepas jari tengah itu adalah jari telunjuk adalah berdasarkan riwayat hadis yang lain, iaitu hadis riwayat selain dari Muslim. Ini seperti mana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Minhaj Syarh Sahih Muslim.
[3] Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-Islami, (14/71) & Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, (4/463).
[4] Diriwayatkan bahawa Ibn Umar R.Anhuma memakai cincin pada tangan kirinya manakala Ibn Abbas R.Anhuma pula di tangan kanannya. Al-Imam Malik Rahimahullah memilih dengan mengatakan sunat memakai cincin di tangan kiri dan diriwayatkan juga bahawa beliau memakainya pada tangan kiri.