Memahami perjuangan PAS: Kerjasama politik, redha Allah dan nasihat

PAS sebagai parti politik Islam mempunyai kayu ukur dan neraca tersendiri dalam menentu dan menilai matlamat dan hala tuju perjuangan.

Advertisement

Kayu ukurnya ialah ISLAM yang rujukannya adalah al-Quran dan Sunnah. Justeru, tentulah ia berbeza daripada kayu ukur dan neraca parti politik lain.

Oleh itu sangat silap apabila seseorang menilai PAS menerusi kaca mata matlamat dan hala tuju perjuangan parti politik yang tidak berteraskan al-Quran dan Sunnah.

Dan terlebih silap jika ada ahli PAS yang mahu PAS mengikut cara fikir, matlamat, hala tuju serta strategi parti seperti DAP, PKR, PAN, PBBM sementelah lagi Umno.

PAS meyakini bahawa matlamat perjuangan politiknya ialah agar negara ini berjaya diperintah berdasarkan prinsip dan dasar pemerintahan Islam kerana hanya Islam yang boleh menjamin hak dan keselamatan seluruh rakyat dan agar dakwah Islam dapat disampaikan kepada seluruh umat manusia.

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ

“Dan hendaklah kamu memerintah di kalangan manusia dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka..” (Surah al-Ma’idah ayat 49)

Sebarang kerjasama politik untuk berkuasa dengan mana-mana pihak sama ada parti politik atau badan bukan kerajaan hendaklah dengan tujuan mencapai matlamat tersebut.

Tiada sebarang kerjasama dengan mereka yang menentang agenda perjuangan ini kerana ia adalah kerjasama atas dasar dosa dan kezaliman yang diharamkan oleh Islam.

Juga tiada ruang kerjasama dengan sesiapa yang bersama dengan pihak yang menentang perjuangan ini.

Dalilnya ialah apabila seorang lelaki syirik memohon perlindungan dan keselamatan daripada pedang Nabi saw setelah dia sendiri sebelumnya meletakkan mata pedangnya di tengkuk Nabi saw, baginda menerimanya apabila dia berjanji:

أُعَاهِدُكَ عَلَى أَنْ لَا أُقَاتِلَكَ وَلَا أَكُونَ مَعَ قَوْمٍ يُقَاتِلُونَكَ

“Saya berjanji kepada kamu agar tidak memerangi kamu dan tidak berada bersama kelompok yang sedang memerangi kamu.” (Hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Maka sesiapa yang menentang matlamat perjuangan ini maka dia berpotensi menjadi musuh walaupun dalam masa yang sama dia juga adalah sasaran dakwah PAS.

Atas tujuan dan matlamat menegakkan Islam, ahli-ahli PAS meyakini bahawa segala sumbangan tenaga, masa dan harta yang mereka korbankan adalah sebahagian jihad di jalan Allah yang akan diganjari dengan syurga oleh Allah.

Allah berfirman:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ

“Sebenar-benar mukmin adalah mereka yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu, dan mereka berjihad dengan harta benda mereka dan jiwa raga mereka di jalan Allah….” (Surah al-Hujurat ayat 15)

Sebagai parti politik, PAS menyertai pilihan raya tanpa jemu sama ada menang atau kalah sejak 1955 sebelum merdeka sehingga pilihan raya ke 13 selepas merdeka pada 2013.

Sekiranya kemenangan berpilihan raya belum diperolehi maka kerja dakwah dan nasihat kepada pemerintah dan rakyat berkonsepkan Amar Makruf Nahi Mungkar diteruskan sehingga menanti pilihanraya seterusnya.

NASIHAT kepada pemerintah dan rakyat adalah tanggungjawab beragama sebagaimana hadis Nabi saw:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ قُلْنَا لِمَنْ قَالَ لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

“Sebenar-benar Agama itu adalah Nasihat.”
Kami (sahabat) bertanya: “untuk siapa?” Baginda menjelaskan: “untuk Allah, untuk Kitab-Nya, untuk Rasul-Nya, untuk pemerintah orang beriman dan untuk orang awam mereka” (Hadis riwayat Muslim)

Nasihat juga adalah syiar dakwah para Nabi sebagaimana kata Nabi Nuh

قَالَ يَا قَوْمِ لَيْسَ بِي ضَلَالَةٌ وَلَٰكِنِّي رَسُولٌ مِّن رَّبِّ الْعَالَمِينَ أُبَلِّغُكُمْ رِسَالَاتِ رَبِّي وَأَنصَحُ لَكُمْ وَأَعْلَمُ مِنَ اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

“Berkata Nuh; wahai kaumku. Tidak ada padaku sebarang kesesatan tetapi aku adalah seorang utusan daripada Rabb Tuhan semesta alam. Aku menyampaikan risalah-risalah Rabbku dan aku memberi nasihat untuk kamu dan aku tahu daripada Allah sesuatu yang kamu tidak tahu.” (Surah al-A’raf ayat 61-62)

Nabi Hud juga memperingatkan kaum baginda tentang kedudukan baginda sebagai PENASIHAT apabila baginda dituduh sebagai bodoh.

أُبَلِّغُكُمْ رِسَالَاتِ رَبِّي وَأَنَا لَكُمْ نَاصِحٌ أَمِينٌ

“Aku menyampaikan kepada kamu risalah-risalah Rabb Tuhanku dan aku bagi kamu semua adalah seorang PENASIHAT yang amanah.” (Surah al-A’raf ayat 68)

Nabi Soleh memperingatkan kaumnya yang tidak menyukai baginda sebagai penasihat:

وَقَالَ يَا قَوْمِ لَقَدْ أَبْلَغْتُكُمْ رِسَالَةَ رَبِّي وَنَصَحْتُ لَكُمْ وَلَٰكِن لَّا تُحِبُّونَ النَّاصِحِينَ

“Dan Soleh berkata; wahai kaumku. Sememangnya aku telah menyampaikan kepada kamu risalah Rabb Tuhanku dan aku telah memberi nasihat untuk kamu tetapi kamu tidak suka para penasihat.” (Surah al-A’raf ayat 79)

Nabi Syuaib juga menegaskan baginda telah menasihati kaum.baginda:

وَقَالَ يَا قَوْمِ لَقَدْ أَبْلَغْتُكُمْ رِسَالَاتِ رَبِّي وَنَصَحْتُ لَكُمْ ۖ فَكَيْفَ آسَىٰ عَلَىٰ قَوْمٍ كَافِرِينَ (93)

“dan Syuaib berkata: wahai kaumku. Sememangnya aku telah menyampaikan kepada kamu risalah-risalah Rabb Tuhanku dan aku telah memberi nasihat untuk kamu…. ” (Surah al-A’raf ayat 93)

Peringatan bahawa PAS sebagai penasihat kepada rakyat dan pemerintah yang menyeleweng sebagaimana sunnah para nabi mungkin diketawakan oleh politikus duniawi yang tidak merujuk kepada sumber al-Quran dan Sunnah.

Apabila kemenangan diperolehi, menerusi jawatan sebagai wakil rakyat, ia dijadikan medium untuk menyampaikan pandangan dan nasihat serta teguran di parlimen atau dewan undangan negeri.

Sekiranya kemenangan berpilihanraya diperolehi sehingga berjaya memerintah negeri maka ia digunakan sepenuhnya untuk menjalankan tanggungjawab pemerintah Islam iaitu “menegakkan agama dan mentadbir negeri dengan prinsip-prinsip agama”.

Matlamat akhir daripada semua usaha perjuangan ini sama ada menang berkuasa atau kalah dalam pilihanraya ialah mencari REDHA Allah.

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ

“dan ada di kalangan manusia orang yang menjual dirinya kerana mencari REDHA ALLAH sedang Allah itu Maha lembut lagi penyayang terhadap hamba-hamba.” (Surah al-Baqarah ayat 207)

Matlamat kemuncak mencapai REDHA Allah mungkin juga diketawakan oleh mereka yang berpolitik hanya untuk dunia dan berpolitik hanya untuk berkuasa semata-mata tanpa pertimbangan syurga dan neraka.

Atas kefahaman ini maka ahli PAS tidak pernah kecewa jika kalah dalam pilihanraya. Mereka bersabar atas kekalahan dan meneruskan perjuangan menyampaikan dakwah dan menegur serta menentang kezaliman pemerintah semasa sehinggalah menanti pilihanraya seterusnya.

Inilah perjuangan PAS yang tersemat kukuh dalam dada setiap ahli PAS.