Kelantan cadang tapak sesuai peminat kereta berhimpun

KERAJAAN Kelantan mencadangkan tapak sesuai perlu dicari bagi menempatkan pameran peminat kereta berhimpun.

Advertisement

Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, ruang yang ada ini begitu sempit bagi menampung himpunan kereta setiap kali ia berlangsung.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Mega Kelab-Kelab Kereta Pantai Timur di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, Kota Bharu semalam.

Katanya, minat manusia itu berbeza antara satu dengan yang lain dan perlu dihormati.

“Sejak zaman Nabi lagi telah ada minat-minat sedemikian dengan menggelarkan nama-nama tertentu pada kenderaan mereka,” ujarnya.

Beliau yakin program sedemikian dapat mengeratkan hubungan antara satu dengan yang lain.

Turut berucap pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Abdul Fattah pula berkata, kerajaan negeri membantu anak muda Kelantan untuk bersosial dengan cara yang betul.

Jelasnya, kerajaan negeri memang prihatin terhadap kehendak anak muda Kelantan.

“Kita akan sentiasa bersama dan memandu mereka selagi ia tidak bercanggah dengan syariat,” ujarnya.

Fattah berharap himpunan mega itu dapat mencapai sehingga 5,000 penyertaan berbanding 3,200 pada program itu.

Tambahnya, pada tahun lalu penyertaan 2,500 buah kenderaan pelbagai jenis. – HARAKAHDAILY 19/3/2017