Persiap teknokrat muda untuk masa depan negara

TENAGA anak muda ketika ini perlu dipersiapkan sebagai teknokrat masa depan yang akan berperanan mengubah negara dengan pemerintahan berteras Islam dan menyelesaikan permasalahan ummah.

Advertisement

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Khairil Nizam Khirudin menyeru demikian dalam sidang plenari pada Konvensyen Profesional Malaysia di Promenade, Garden Residence, di Cyberjaya, kelmarin.

Menurutnya, perbezaan sama ada teknokrat itu berteras Islam atau bukan dapat dilihat dari imej dibayangkan Dr Yusof al-Qardhawi dalam bukunya berjudul Ghuraba’.

Di mana katanya, Dr Yusof menyifatkan mereka sebagai generasi waqi’ yang menjiwai al-Quran iaitu menguasai ilmu langit dan dunia serta mampu memahami cabaran dan keperluan semasa.

“Maka di sini ia memberitahu kepada kita bahawasanya, setiap permasalahan di dunia ini dapat diselesaikan dengan Islam dan terfokus kepada dasar yang telah dibawa kerajaan sekarang,” ujarnya merujuk kepada sistem politik semasa.

Terang beliau, tujuh bidang keberhasilan nasional (NKRA) mesti diisi para profesional PAS kelak dan memulakannya dengan memberi pandangan konstruktif kini.

Katanya, Gagasan Induk Negara dan Budaya Politik Matang dan Sejahtera sebagai transformasi diutarakan PAS perlu diketengahkan supaya konsep Islam Kerajaan Teknokrat yang diideakan itu menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.

Agenda utama itu menurutnya, perlu dizahirkan mengguna teknologi maklumat dan menjadi ‘one stop centre’ yang solusinya dapat dinilai PAS sebagai ‘government in waiting’ berbanding kerajaan korup ketika ini.

Katanya lagi, kepakaran sedia ada mesti digabung dan menjadi alternatif dengan menubuhkan ‘expert team’ yang mengemuka penyelesaian Islam bagi setiap NKRA.

“Wujudkan satu jawatankuasa teknikal bagi mencerna kaedah terbaik dalam permasalahan semasa dan akan datang. Bentangkan kertas kerja teknikal sebagai solusi.

“Di sinilah kita ada kluster dalam Jabatan Profesional Muda DPPM yang boleh semua pihak bersama menyumbang peranan,” ujarnya.