Akibat telefon bimbit nyawa melayang

BELAKANGAN ini tidak asing lagi untuk saya melihat orang menggunakan telefon bimbit sambil memandu mahupun menunggang motosikal. Adalah lebih parah bilamana ada dikalangan mereka yang berfikir ia langsung tidak berkait dengan ancaman nyawa walhal ia telah pun dikenalpasti sebagai salah satu punca utama kemalangan jalan raya.

Advertisement

Menteri pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan penggunaan telefon yang kian canggih dengan pelbagai aplikasi telah mengubah soal keselamatan di jalan raya serta lebih berbahaya apabila pemandu mahupun penunggang menggunakannya untuk melayari laman sosial.

Hal ini terbukti pada diri saya. Suatu ketika saya telah keluar bersama seorang rakan ke bandar untuk membeli barang dengan menaiki keretanya. Tatkala rakan saya sedang memandu kereta, dia juga asyik bermain telefonnya. Mungkin berbalas-balas mesej dengan rakan-rakannya di alam maya.

Tiba-tiba kereta kami hampir sahaja melanggar kereta di hadapan yang telah lama membrek. Mujur saya sempat menyedarkan rakan daripada lekanya. Jika tidak, mungkin saya sudah lama terlantar di hospital.   

Saya juga berasa hairan dengan karenah sesetengah manusia. Sistem kit bebas tangan “hand free” sudah lama diperkenalkan untuk menelefon semasa memandu, namun masih ramai pemandu yang lebih suka menelefon secara bertangan.

Termasuklah beberapa rakan saya sendiri. Apabila saya bertanyakan tentang hal ini, berbagai alasan yang diberikan. Mungkin juga alat ini sangat mahal jika dibandingkan dengan harga telefon mereka.     

Tidak kurang juga, ada dalam kalangan pemandu dan penunggang yang merasakan melihat ke bawah pada paparan skrin yang bercahaya semasa memandu mahupun menunggang tidak sekali-kali menggangu fokus mereka di jalan raya.

Apakah mereka merasakan, memandu dan bermain telefon sama sahaja seperti berkayuh sambil bertimba? Atau harus sudah terhantuk baru terngadah? Janganlah kesilapan kita sebagai pemandu mahupun motorsikal menyusahkan banyak pihak.

Sebagai peringatan bersama, telah pun berlaku peristiwa hitam di Amerika Syarikat suatu ketika dahulu akibat kecuaiannya semasa memandu. Seorang wanita terbunuh selepas dia memuat naik status di akaun Facebook miliknya semasa memandu. Statusnya mengulas lagu Happy oleh Pharrell Williams yang didengar dalam radio keretanya.

Pihak 911 menerima panggilan mengenai kemalangan wanita tersebut selepas bebarapa minit statusnya dimuat naik. Satu jiwa melayang begitu sahaja kerana tidak memberi tumpuan sepenuhnya di jalan raya. Bayangkan bagaimana jika bersama wanita tersebut ada beberapa penumpang yang lain? Tentu saja mereka semua mati katak.

Selain itu, pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) bagi pusat pengajian kejuruteraan awam, Profesor Dr Ahmad Farhan Sadullah, turut menjelaskan berbual menggunakan telefon sebenarnya lebih banyak menganggu fokus pemanduan berbanding dengan penumpang yang gemar berbual.

Demikian kerana risiko itu akibat daripada gangguan terhadap tumpuan ketika berkomunikasi. Maka, saya berasa amat kagum akan tumpuan pemandu yang dapat memberi fokus terhadap dua perkara sekaligus. Lebih-lebih lagi terhadap penunggang yang sempat menaip SMS seakan mereka sambil menyelam minum air.  

Dalam isu ini, saya juga berpendapat bermain telefon semasa memandu mahupun menunggang sangat berkait rapat dengan firman Allah “dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. Surah Al Baqarah, ayat 195. Perbuatan bermain telefon semasa memandu mahupun menunngang seperti menempah maut yang sedia menanti.

Tidakkah pemandu dan penunggang yang leka dengan telefon canggih itu sedar akan peringatan daripada Sang Pencipta? Al-Imam As Syaukani (1173H-1250H) berkata dalam kitab tafsirnya Fathul Qadir (1/193) “maka setiap apa yang diyakini ia membinasakan dalam agama ataupun dunia maka ia termasuk dalam ayat ini. Demikian pandangan al-Imam Ibnu Jarir”. Sudah terang lagi bersuluh peringatan dalam Islam akan pentingnya menjaga keselamatan diri.   

Penulis juga mengingatkan bahawa dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan daripada Abu Sai’d Al Khudri, Rasulullah SAW bersabda “Jangan membahayakan diri dan jangan membahayakan orang lain”. Tidak syak lagi, bahawa Islam sangat mengambil serius akan keselamatan jiwa. Bermain telefon semasa memandu dan menunggang bukan sahaja membahayakan diri mereka bahkan juga kepada orang-orang yang berada di sekeliling mereka.

Seharusnya mereka berfikir sebelum berkata, berunding sebelum dibuat agar tidak menyesal di kemudian hari. Janganlah bila nasi sudah menjadi bubur ketika itu barulah terngadah. Paling tidak ingatlah keluarga di rumah yang menanti kepulangan dengan selamat. – HARAKAHDAILY 21/3/2017