Tiada kenaikan premium lot kediaman

Dun premium tanah

SEJAK 1990 sehingga sekarang hanya sekali kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama menaikkan kadar bayaran premium tanah di Kelantan.

Advertisement

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata kenaikan kadar premium itu dibuat pada 2015 selepas mengambil kira pelbagai aspek.

Katanya kenaikan tersebut meliputi tanah yang bertanam getah dan kelapa sawit serta dusun. Namun tiada kenaikan bagi tanah lot kediaman, industri atau perniagaan.

“Sebelum kenaikan itu berlaku pada 2015  kadar premium tanah di Kelantan paling rendah di negara ini iaitu hanya RM750 bagi satu ekar.

“Biarpun berlaku kenaikan namun rakyat Kelantan yang tidak mampu boleh mengisi borang rayuan dengan mendapat pengesahan wakil rakyat.

“Rakyat yang tidak mampu menjelaskan jumlah premium permohonan tanah boleh mengemukakan rayuan tersebut.

“Malah pada akhir tahun lepas kerajaan negeri memberi insentif potongan sehingga 90 peratus premium tanah dalam tempoh dua bulan yang diberi kerajaan,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) pada persidangan Dun di Kota Bharu hari ini.

Selain itu kata beliau rakyat yang tidak mampu boleh membayar secara ansuran di Pejabat Tanah dan Jajahan. – HARAKAHDAILY 21/3/2017