DPP PAS Kawasan Subang kecam kenyataan Azmin

DEWAN Pemuda PAS Kawasan Subang (Pemuda Subang) mengecam tindakan YB Azmin Ali (PKR) yang mengeluarkan kenyataan sinis terhadap kekalahan YB Ustaz Nik Muhammad Abduh dalam pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa sebagai indikator kepada kemampuan jentera PAS untuk menawan negeri Selangor seluruhnya pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14) nanti.

Advertisement

Pemuda Subang melihat kenyataan YB Azmin ini sebagai satu gaya pemikiran yang senteng kerana pemilihan jawatan dalaman PAS di peringkat kawasan-kawasan adalah urusan meyusun gerak atur pergerakan PAS di peringkat akar umbi itu sendiri dan sama sekali tidak absah jika ingin dinisbahkan kepada gerak kerja pilihan raya.

Pemuda Subang ingin mengingatkan kembali kepada YB Azmin bahawasanya keberadaan YB Azmin di kerusi Menteri Besar Selangor adalah hasil daripada ihsan PAS, bukan daripada parti YB sendiri dan kemenangan YB Azmin di Parlimen Gombak juga adalah hasil daripada kekuatan gerak kerja daripada jentera-jentera PAS yang ramai dan sanggup bekerja atas arahan pimpinan.

YB Azmin perlu menyedari hakikat bahawasanya PAS mempunyai kekuatan yang ampuh di peringkat akar umbi. Kesinisan kenyataan YB Azmin ini seolah-olah menjerut leher sendiri tatkala beliau menyedari hakikat bahawa PKR tidak ada kekuatan jentera di mana-mana kawasan sekalipun.

Justeru, Pemuda Subang ingin menyeru kepada semua perwakilan PAS di Muktamar Kawasan masing-masing agar usul memutuskan hubungan politik antara PAS dan PKR mendapat sokongan seluruh perwakilan yang ada.

Di peringkat Dewan Pemuda PAS Kawasan Subang, kami dengan segala kekuatan jentera yang ada  bersedia untuk bertanding di kerusi Parlimen Subang, Kota damansara, dan Paya Jaras pada PRU14 yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Subang sekali lagi bertegas akan terus konsisten meyambut seruan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, YB Nik Muhammad Abduh untuk menawan Selangor sekaligus menunjukkan pintu keluar kepada YB Azmin Ali daripada pejabat Menteri Besar dan menyingkirkan YB Azmin Ali daripada kerusi Parlimen Gombak.

USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Dewan Pemuda PAS
Kawasan Subang – HARAKAHDAILY 22/3/2017