Kada tidak lantik wakil kerajaan negeri

AKTA Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) 1972 menetapkan tiga wakil kerajaan negeri perlu dilantik dalam lembaga pengarah agensi itu.

Advertisement

Namun sehingga sekarang tiada wakil kerajaan negeri dilantik dalam agensi berkenaan.

Sebaliknya wakil kerajaan negeri diganti pemimpin-pemimpin Umno. Antaranya Pemangku Ketua Umno Tumpat Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz, Ketua Umno Pasir Mas Datuk Haji Hanafi Mamat, Timbalan Ketua Umno Bachok Datuk Dr Illias Hussain.

Selain itu, Ketua Umno Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman. Manakala Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad dilantik sebagai Pengerusi Kada.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, tindakan tersebut bertentangan dengan Akta Kada.

“Akta berkenaan menetapkan seramai tiga wakil kerajaan negeri dilantik dalam lembaga pengarah Kada.

“Ia perlu dilakukan dalam suasana politik sekarang bagi memberi manfaat serta menyelesaikan masalah berbangkit,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Diraja pada persidangan Dewan Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Bagaimanapun katanya masalah berkaitan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dapat diselesaikan selepas wakil kerajaan negeri dilantik dalam lembaga pengarahnya. – HARAKAHDAILY 22/3/2017