Pencemaran sisa buangan di Kuala Sg Pinang merebak

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pulau Pinang dan pihak berkuasa berkenaan agar memberi perhatian serius dan mengambil tindakan berkesan bagi mengatasi pencemaran sisa kumbahan domestik dan sisa buangan dari kolam ternakan udang yang kian merebak di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau ketika ini.
 
Masalah yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu itu melibatkan sistem perparitan, pantai dan laut di kawasan berkenaan menyebabkan 5,000 penduduk dan nelayan di sini terjejas kehidupan harian mereka akibat bau busuk dan kekurangan hasil tangkapan.
 
Dalam tinjauan yang dibuat kami mendapati selain keadaan parit di sini yang hampir tertimbus akibat mendapan bahan buangan seperti lumpur dan sampah-sarap dari kawasan perumahan dan kolam ternakan udang, air di dalam parit di tempat ini juga didapati berwarna hitam serta berbuih.
 
Terdapat beberapa longkang dan berpuluh saluran di kawasan ini menjadi tempat sisa buangan dialir ke parit dan terus ke laut menyebabkan sekitar perairan Balik Pulau di kawasan ini tercemar dan mengancam hidupan laut dan kehidupan 2,000 nelayan pantai di Kuala Sungai Pinang, Pantai Acheh, Kuala Sungai Burung dan Pulau Betong terjejas hasil tangkapan seperti ikan, udang,  ketam dan siput.
 
Sejak kejadian ini berlaku banyak aduan telah dibuat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan nelayan-nelayan yang terlibat kepada pihak kerajaan negeri termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tetapi sehingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil.
 
Selain penguatkuasaan undang-undang yang lemah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jabatan dan agensi yang terlibat dalam usaha mengawal gejala pencemaran di negeri ini, SAM kesal dan bimbang kerana hutan paya bakau terus dimusnahkan dan bertambah banyak kolam ternakan udang dibina dengan sewenang-wenangnya di kawasan ini tanpa kajian yang menyeluruh mengenai kesannya ke atas alam sekitar, hidupan marin dan ekonomi penduduk tempatan.
 
SAM meminta Jabatan Perikanan membuat kajian khusus mengenai kesan pencemaran sisa buangan kolam ternakan ke atas sumber perikanan di perairan Balik Pulau dan mendedahkan hasil kajian tersebut kepada umum. SAM percaya jika punca pencemaran yang berlaku di kawasan ini tidak diberi perhatian serius dan dibiarkan berterusan bukan saja alam sekitar di sini akan musnah dua puluh tahun lagi malah para nelayan di Pulau Pinang dan generasi mereka juga akan pupus pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 22/3/2017

Advertisement