Umno ganggu projek lebuh raya rakyat

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini mendedahkan gangguan Umno menyebabkan Jambatan Kedua Construction & Consultancy Sdn Bhd (JKCC) menarik diri membina projek lebuh raya rakyat.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Datuk Hanifa Ahmad berkata, syarikat terbabit sebelum ini menjalankan kerja-kerja pembinaan dari Bukit Tiu sehingga Berangan Mek Nab sejauh 10 km.

Bagaimanapun katanya selepas 10 bulan kerja-kerja pembinaan dijalankan, muncul pula tekanan daripada Umno Machang.

Menurutnya berdasar maklumat diterima, Umno hairan bagaimana sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan dibenarkan terbabit dengan projek di Kelantan.

“Ekoran tekanan itu saya difahamkan ada pengurusnya meletak jawatan. Keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri memberi tender kepada syarikat lain pula.

“Kita yakin sekiranya tiada gangguan politik pembinaan lebuh raya tersebut dapat disiapkan pada Mac 2018, namun sekarang terpaksa dilewatkan pula kepada September 2018,” katanya ketika menggulung perbahasan pada persidangan Dun di Kota Bharu.

Pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu pernah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke Lapan, namun tidak menjadi kenyataan.

Berikutan itu pada 2012 kerajaan negeri mengambil keputusan membina sendiri lebuh raya tersebut bagi manfaat rakyat. Pelancarannya dibuat pada Mei 2012.

Kesungguhan kerajaan negeri tersebut akhirnya menyebabkan kerajaan pusat mempertimbangkan semula projek berkenaan.

Projek fasa pertama di bawah kerajaan pusat iaitu pakej 1b dari Pasir Hor ke Kadok sejauh tujuh kilometer melibatkan kos sebanyak RM400 juta dijangka disiapkan April tahun ini.

Pembinaannya dijalankan Chengaljati Sdn Bhd, difahamkan milik pemimpin Umno Tanah Merah.

Hanifa juga berkata, laluan dari Berangan Mek Nab ke Kuala Krai sejauh 20 km belum lagi dibuka sebarang tender.

“Sekiranya tiada pembinaan dijalankan bagi laluan tersebut lebuh raya rakyat akan disambung ke jalan sedia ada Machang-Kuala Krai dari Berangan Mek Nab sejauh 4 km,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/3/2017