Keluarkan FGV daripada Bursa Saham Malaysia

PERTUBUHAN Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI) hari ini, menggesa Felda Global Ventures (FGV) dikeluarkan daripada Bursa Saham Malaysia dan mahu FELDA memberi sepenuh tumpuan kepada sektor perladangan.

Advertisement

Presidennya, Ustaz Roslan Md Esa berkata kewujudan Felda Investment Corporation (FIC) juga harus dikaji semula kerana FELDA perlu fokus kepada fungsi utamanya sahaja dengan membangunkan sektor perladangan dan memberi khidmat sosial kepada para peneroka.

PAS sejak awal membantah keras cadangan penyenaraian FGV di BSKL, malah sebelum pucuk pimpinan FELDA diterajui oleh pengaruh politik, FELDA dilihat begitu berjaya di persada dunia korporat sehingga agensi tanah ini mengharumkan nama negara.

“Mengembalikan kegemilangan FELDA adalah impian semua khasnya warga peneroka dan generasi FELDA. Jika kita serius ingin menyelamatkan FELDA, suatu keputusan berani mesti dilakukan pada PRU akan datang maka tampuk pemerintahan kerajaan Umno-BN mesti ditamatkan dan PAS bersedia memimpin perubahan ini.

“Terdapat 54 parlimen daripada 222 parlimen yang ada padanya FELDA, undi peneroka dan generasinya sangat penting untuk perubahan,” katanya kepada Harakahdaily.

Sebelum ini GENERASI pernah mencadangkan rombakan secara besar-besaran terhadap pengurusan FELDA harus dilakukan dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad beberapa bulan yang lalu turut menyatakan hasrat yang sama demi mengembalikan kegemilangan FELDA.

“Cadangan daripada Tan Sri Shahrir jelas mengesahkan bahawa FELDA sangat bermasalah dan nyata disalahgunakan oleh mereka yang berkepentingan. Maka sangat wajarlah mereka yang terlibat dengan penyelewengan dan salah guna kuasa diheret ke muka pengadilan,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Peneroka PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 24/3/2017