Presiden FAM: Tahniah TMJ!

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merafak sembah dan mengucapkan tahniah setinggi-tingginya kepada Tengku Mahkota Johor, Tuanku Ismail Ibni Sultan Ibrahim diatas kemenangan baginda sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) setelah pencabar jawatan tersebut, Tan Sri Annuar Musa menarik diri dari bertanding jawatan tersebut pada hari ini.

Advertisement

Dengan misi mengembalikan semula sukan paling diminati di negara ini kepada rakyat, DPPM mengharapkan cetusan positif daripada kepimpinan baginda dalam FAM kelak akan dapat membawa bolasepak negara kita ke tahap yang lebih baik.

DPPM sememangnya menyokong usaha Tuanku TMJ yang mahukan bolasepak Malaysia diurus secara profesional, berintegriti dan bebas daripada pengaruh politik untuk mempastikan bolasepak Malaysia dapat ditingkatkan lagi di persada Asia dan dunia. Dengan visi yang jelas seperti ini, pelan keseluruhan bolasepak negara dibawah kepimpinan beliau diharapkan akan dapat memberikan impak yang positif.

DPPM mengharapkan keseluruhan organisasi bolasepak di negara ini, bermula dari pencarian bakat di peringkat akar umbi, negeri-negeri, sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi mahupun kelab-kelab bolasepak sosial dapat memberikan sokongan kepada Tuanku TMJ dalam membawa standard baru dalam pengurusan bolasepak samada dari aspek taktikal, kewangan mahupun dari sudut pembangunan keseluruhan sukan ini.

DPPM juga mengharapkan agar rakyat memberikan masa dan sokongan yang padu  kepada Tuanku TMJ untuk mengembalikan kegemilangan bolasepak negara. Satu hari nanti kita mahu pasukan bolasepak negara dapat beraksi di Piala Dunia!.

IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia
Pengarah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan – HARAKAHDAILY 24/3/2017