Ucapan Presiden PAS disunting sebegitu rupa

SAYA telah meneliti video penuh ucapan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan raya PAS DUN Alur Limbat.

Advertisement

Sekalipun ianya merupakan sebuah program yang bersifat dalaman, ianya telah tersebar di dunia siber.

Malang sekali, ianya telah dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, tiada pertimbangan dosa dan pahala, sehingga memberikan gambaran yang sangat salah, seolah-olah PAS mempunyai rancangan kerjasama dengan Barisan Nasional yang semakin hilang populariti.

Ucapan Presiden PAS itu disunting sebegitu rupa, hingga kita sukar untuk menerima ianya merupakan salah faham, melainkan ianya merupakan tindakan yang disengajakan untuk mengelirukan pengundi.

Ayat selanjutnya yang memperdengarkan Tuan Guru Presiden menempelak ahli PAS sendiri yang berbunyi “Kalau boleh nak telan habis (semua), tapi mulut kita luas mana nak telan habis (semua)?” sengaja dipotong. Ini menjadi sandaran sangkaan kita bahawa mereka menyunting untuk memenuhi tujuan jahat mereka.

Kami di Jabatan Penerangan PAS Pusat bertanggungjawab untuk memberi pemahaman bahawa Tuan Guru Presiden sama sekali tidak bermaksud untuk membina kerjasama politik di dalam Pilihanraya Umum akan datang, sebaliknya menekankan fokus yang perlu dibuat dalam Pilihanraya Umum itu.

Bagi lima buah negeri yang disebutkan itu, usaha perlu dilipatgandakan untuk mencapai hasrat menjaga agama Islam dan membolehkan PAS memposisikan diri sebagai “kingmaker”.

Memandangkan video ini telah ditularkan ke dalam dunia siber, maka kami berpendapat, adalah sesuai untuk terus memberikan kefahaman mengenai intisari utama ucapan tersebut, seperti berikut:

1. Kuasa politik Islam di dalam keadaan yang sangat lemah, berpunca daripada tindakan UMNO yang dipimpin oleh Tun Mahathir (ketika itu) berusaha untuk “menyingkirkan” PAS melalui siri-siri persempadanan semula kawasan pilihanraya.

2. Melalui Pakatan Rakyat, 89 kerusi Parlimen berjaya dimenangi, tetapi hanya 39 merupakan kerusi orang Islam, dan selebihnya adalah kerusi bukan Islam. 30 kerusi Barisan Nasional merupakan milik bukan Islam, dan selebihnya UMNO.

3. Dalam usaha undi tidak percaya ke atas Najib, sekiranya 30 kerusi bukan Islam Barisan Nasional berpihak kepada undi tersebut, maka kerajaan BN akan tumbang, dalam keadaan hanya 39 kerusi Islam dan selebihnya bukan Islam (112 jumlah kerusi minimum yang diperlukan untuk membentuk kerajaan di Pusat).

4. PAS mengambil langkah pantas untuk memperbaiki keadaan, dengan tidak menyokong usul undi tidak percaya tersebut bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar.

5. Oleh kerana PAN didukung oleh parti-parti komponen Pakatan Rakyat, PAS melakukan muhasabah berhubung kedudukan bersama Pakatan Rakyat.

6. PAS perlu menang di Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor dan Perak.

7. Sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen disasarkan untuk dimenangi, bagi membolehkan PAS menentukan hala tuju politik negara.

8. Himpunan RUU355 perlu untuk mendidik umat Islam di Malaysia bahawa mereka boleh bekerjasama dalam kepentingan bersama, bagi menaikkan martabat Mahkamah Syariah.

9. Ketegangan perlu dielakkan supaya ruang perbincangan sentiasa terbuka untuk kepentingan politik Islam.

10. Giatkan aktiviti pendaftaran pemilih untuk mendapatkan sebanyak mungkin sokongan pengundi.

11. Kumpulkan kekuatan ahli, dan juga kekuatan kewangan.

Ahmad Amzad Hashim
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat