Anggota Amal santuni PDRM sempena Hari Polis

JABATAN Amal Malaysia Negeri Selangor melalui kawasan-kawasan Amal hari ini mengadakan kunjungan hormat di beberapa Balai dan Ibu Pejabat Polis bagi meraikan Hari Polis Ke-210.

Advertisement

Pengarah Amal Negeri Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli pula memaklumkan, pendekatan yang dilakukan oleh anggota Amal itu telah lama diamalkan sebelum ini bukan sahaja dengan pihak polis, juga menziarahi agensi kerajaan lain seperti Bomba, hospital dan klinik baru-baru ini sempena Hari Pembantu Perubatan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Mohd Nazree Mohd Aris pula memberitahu, pendekatan dan kerjasama ini telah diamalkan di pelbagai peringkat termasuk di peringkat Pusat dan yang terakhir semasa Himpunan Rohingya dan RUU355 di mana Jabatan Amal telah memberi kerjasama yang sangat baik dengan pihak PDRM.

Tambah beliau, apa yang dibuat ini adalah salah satu Budaya Politik Matang Pemuda PAS bagi membentuk hubungan baik antara Jabatan di bawah Dewan Pemuda PAS dengan agensi kerajaan.

Nazree ketika dihubungi juga mengambil kesempatan mewakili seluruh keluarga besar Jabatan Amal Malaysia mengucapkan selamat memperingati anggota-anggota polis yang telah banyak berkorban menjalankan kewajiban demi memastikan negara ini dalam keadaan aman dan sejahtera.

Beliau juga mendoakan agar seluruh anggota Polis Diraja Malaysia dan keluarga mereka sentiasa dalam rahmat Allah dan diberikan sebaik-baik ganjaran dunia akhirat.

Selamat Hari Polis ke-210, insya Allah ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’. – HARAKAHDAILY 25/3/2017