Warga emas sukar dapat bantuan perumahan, kebajikan

PBR

NASIB golongan warga emas dan mereka yang kurang berkemampuan terus hidup dalam kesempitan dalam bandaraya Miri. Dengan harga barangan keperluan harian yang semakin meningkat dengan GST dan harga petrol yang tidak menentu menyebabkan kehidupan harian mereka terus tertekan.
 
Harga rumah dalam kawasan bandaraya memang terlalu mahal dan sukar untuk dimiliki oleh golongan yang kurang berkemampuan. Walaupun kerajaan mempunyai Program Bantuan Rumah (PBR) untuk menyediakan bantuan kewangan dan pengurusan bagi membolehkan kumpulan sasar yang tinggal di perumahan yang lebih baik dan selamat berbanding sebelum ini, tetapi tujuan program ini masih belum mencapai sasaran.
 
Salah seorang penduduk di Tudan Phasa 5 Lutong Jalan Kuala Baram Miri mengadu masalah tempat tinggal mereka yang usang dan hampir roboh.

Advertisement

Maru Timin, 61, dan isterinya, Maliah Dris, 63, amat memerlukan bantuan segera membaiki rumah mereka yang usang itu. Maru bekerja sebagai pengawal keselamatan dan isterinya Maliah tidak bekerja hanya menjaga cucu mereka yang masih kecil dan tidak dapat bersekolah. Pendapatannya tidak mencukupi untuk menampung pembelanjaan harian keluarganya dan kadang-kadang mereka terputus bekalan makanan disebabkan tiada wang untuk membeli makanan dan terpaksa meminjam wang dari rakan-rakan.
 
Maru pernah memohon bantuan dengan pihak yang berwajib tahun lepas untuk membina semula rumah mereka yang usang itu tetapi sehingga kini tiada sebarang jawaban diterima dari pihak yang berkenaan. Menurut isterinya Maliah terdapat pihak yang berkenaan datang ke rumah mereka untuk tujuan kaji selidik tetapi tiada bantuan diberikan seperti yang sepatutnya. Beliau merayu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal boleh memberikan bantuan bulanan kepada keluarga mereka kerana mereka juga menjaga cucu mereka yang berusia 9 tahun yang masih tidak bersekolah.
 
PAS amat simpati akan nasib yang ditanggung oleh keluarga ini dan memberi sedikit sumbangan untuk mengurangkan bebanan yang mereka tanggung. Pihak berkuasa, Jabatan kebajikan Masyarakat serta Baitulmal yang sepatutnya mampu memberi bantuan bulanan kepada keluarga ini. Cucu mereka yang masih belum bersekolah sepatutnya diberi peluang untuk belajar di sekolah kerajaan.
 
PAS menggesa pihak kerajaan yang mempunyai peruntukan untuk bantuan rakyat termiskin dan mereka yang kurang berkemampuan ini dapat memberi perhatian dengan masalah yang dihadapi oleh mereka yang amat memerlukan bantuan ini.
 
Kita menggesa pihak yang berkenaan seharusnya turun padang dan apabila ada aduan yang dihadapi oleh golongan ini perlu diberi perhatian dan tindakan segera. Berilah bantuan sewajarnya kerana kami telah menerima aduan daripada kumpulan sasaran ini mereka sukar untuk mendapatkan bantuan yang sepatutnya kerana mereka perlu mengisi borang tertentu dan akan dirujuk dengan pelbagai istilah sehingga mereka merasa sukar untuk mendapatkan bantuan.
 
Kita harap masalah rakyat yang sukar untuk mendapatkan bantuan ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya dari pihak berkuasa dan pihak yang berkenaan. Kerjasama dengan pihak berkuasa dan mereka yang berkenaan untuk mengatasi masalah rakyat ini amat dihargai.
 
Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS Sarawak