Apa isunya Nik Abduh kalah?

MUNGKIN ramai pemerhati politik di luar sana terkejut dengan kekalahan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nik Abduh Nik Aziz di kerusi Timbalan Yang Di Pertua Pengkalan Chepa. Tetapi bagi ahli PAS yang menerima tarbiah, ia merupakan perkara biasa.

Advertisement

Sebagaimana yang selalu dinyatakan, PAS bukan sekadar sebuah parti. PAS adalah sebuah gerakan Islam yang mengamalkan masih mengekalkan segala nilai-nilai utama sebuah gerakan Islam. Pemilihan hanyalah satu proses demokrasi sebagai memenuhi prosedur pertubuhan berdaftar di Malaysia.

PAS yang menjunjung tinggi prinsip-prinsip Islam seringkali mengingatkan para ahli agar tidak mengejar jawatan. Kisah Abu Dzar yang meminta jawatan seringkali disebut oleh para murabbi. Sabda Rasulullah menegur Abu Dzar:

يَا أَبَا ذَرَ إنّكَ ضَعِيفٌ وَإنّهَا أَمَانَةٌ، وَإنّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ، إلاّ مَنْ أَخَذَهَا بِحَقّهَا وَأَدّى الّذِي عَلَيْهِ فِيهَا.

Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya kamu lemah. Dan ia adalah suatu amanah. Pada hari kiamat nanti adalah kesedihan dan penyesalan, melainkan buat mereka yang mengambilnya dengan menunaikan hak dan tanggungjawab yang sepatutnya. [HR Muslim]

Lantaran hadis ini, menjadi budaya para ahli PAS apabila dilantik sesuatu jawatan, orang tidak mengucapkan tahniah sebaliknya mengucapkan takziah. Astaghfirullah kalau menang, dan Alhamdulillah jika kalah.

Jawatan hanyalah medium untuk berkhidmat di jalan Allah. Majikan sebenar adalah Dia Yang Maha Esa. Memandangkan jalan ini amat berat untuk dipikul dengan kudrat manusia biasa, maka pertolonganNya sentiasa diharap. Justeru mengejar jawatan bukanlah caranya sebagaimana Sabda Baginda SAW:

يَا عَبْدَالْرَحْمَنِ بْنِ سَمُرَةَ ! لاَ تَسْأَلِ الْإِمَارَةَ , فَإِنَّكَ إِنْ أُوْتِيْتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلَتْ إِلَيْهَا وَإِنْ أُوْتِيْتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ إِلَيْهَا

Wahai Abdul Rahman bin Samurah Jangan engkau meminta jawatan pemimpin . Sebab jika ia diserahkan kepadamu kerana permintaanmu maka ia akan diserahkan bulat –bulat kepadamu .Sebaliknya jika ia diserahkan kepadamu tanpa permintaanmu maka engkau akan diberikan pertolongan dalam melaksanakan tugasmu. [HR Bukhari & Muslim]

PAS tidak menawarkan sebarang imbuhan kepada penjawat-penjawat parti. Apa yang ada hanyalah imbuhan daripada tuhan, berupa pahala dan maqam di syurga bagi yang melaksanakan secara ikhlas dan menepati syariat.

Pemilihan PAS tidak pernah panas. Berlaku secara harmoni dan kadang-kadang langsung hambar. Hambar kerana tiada pertandingan dan seringkali calon menarik diri. Sabda Rasulullah SAW:

إنا لا نولي هذا من سأله ولا من حرص عليه

Sesungguhnya kami tidak melantik jawatan ini sesiapa yang memintanya atau sesiapa yang bercita-cita mendapatkannya. [HR Bukhari & Muslim]

Tiada pencaturan. Tidak timbul soal politik wang, lobi melobi dan kempen mengempen. Semua itu hanya berlaku dalam amalan demokrasi. Sebagai gerakan Islam, ia suci dari semua itu. Ini kerana walau siapa pun yang naik, segala keputusan dan gerakerja dilakukan secara jamaie. Tiada istilah keputusan dan tindakan peribadi atas nama jamaah.

Budaya PAS adalah budaya warisan turun temurun Islam. PAS meneladani sikap para sahabat dalam pemilihan. Saidina Abu Bakar, Umar dan Abu Ubaidah ketika menjadi calon khalifah, mereka bukan sahaja tidak kempen untuk diri sendiri, bahkan mereka mengempen untuk pesaingnya pula. Saidina Abu Bakar sendiri mencalon Umar dan Abu Ubaidah. Saidina Umar pula menyebutkan kelayakan-kelayakan Abu Bakar di hadapan khalayak sehingga akhirnya beliau terpilih.

Mungkin semua pernah ingat, ketika Tuan Guru Abdul Hadi menarik diri setelah dicalonkan sebagai Presiden PAS yang disandang oleh Ustaz Fadzil Noor. Walaupun beliau pada waktu itu lebih terkenal dan dilihat oleh ahli sebagai pemimpin masa depan, tetapi beliau secara spontan memberi alasan: “Macam mana saya bertanding Presiden dengan Ustaz Fadzil. Dalam soal solat sunat pun saya dah tak boleh lawan dia.”

Yang kalah tidak akan merajuk atau bawa diri. Mereka akan jadi pembantu yang setia kepada ketua. Lihat bagaimana Umar di sisi Abu Bakar, dan Ali di sisi Uthman, dan Tuan Guru Abdul Hadi sendiri di sisi Ustaz Fadzil walaupun mereka tidak pernah bersaing. Kesemuanya menjadi orang paling kanan dalam pentadbiran bekas pesaingnya dalam pemilihan jawatan.

Mungkin sejak akhir 80-an sehingga muktamar bersejarah 2015, lantaran inflirtasi pihak luar yang berkepentingan, PAS diresapi budaya baru yang tidak sihat bagi gerakan Islam. Akibat sikap orang PAS yang tidak mahukan jawatan berlaku di berbagai peringkat, kumpulan ini mudah membina nama dengan hanya mencalonkan diri. Orang PAS, kalau ada yang nak jawatan , memang terus diberi laluan. Akhirnya dengan mudah kumpulan ini berjaya ke tampuk pimpinan pusat. Mereka berjaya melaksanakan strategi mengikut kertas kerja yang ditulis oleh pimpinan pihak ini dengan mudah pada awalnya.

Kepincangan tentang halatuju dan prinsip perjuangan PAS mula berlaku dalam tempoh itu. Ahli mula menyedari sikap pemimpin waktu itu yang membawa agenda lain dari yang selama ini diperjuangkan. Ada ahli yang terpengaruh. Mujurlah kesan tarbiah Islam masih kuat, ahli sendiri yang membuat keputusan untuk menurunkan mereka dari tampuk kepimpinan. Malangnya mereka tidak seperti orang PAS lain. Mereka tidak boleh menerima kekalahan lalu keluar menubuhkan wadah baru. Khabar mereka, wadah baru itu semua pencalonan akan menang tiada yang kalah. Trauma betul mereka dengan terma kalah.

Kini, boleh dikatakan budaya itu semakin berkurangan pasca muktamar 2015. Kalau adapun hanya saki baki kumpulan mereka yang berstatus harumanis dan seumpamanya. Jemaah ini sentiasa dipelihara oleh Allah. Yang ada matlamat peribadi pasti akan tersingkir.

Apa yang menarik pada pemilihan kali ini, ia berlaku di saat pilihanraya umum akan berlaku bila-bila masa sahaja. Parti-parti lain tidak berani untuk buat pemilihan dalam tempoh ini. Umno dan DAP sudah menangguhkan pemilihan mereka sehingga pilihanraya. PKR bukan setakat pemilihan, bahkan langsung menangguhkan konvensyen tahunannya. PAN? Macam mana nak buat pemilihan, perlembagaan pun tak ada!

Semua parti lain tidak berani buat pemilihan kerana takut berlaku perkara tidak diingini sepanjang proses dan selepas proses. Ini kerana semua melihat bakal ketua di setiap peringkat adalah bakal calon PRU nanti. Setiap mereka ada pengikut tersendiri. Jika ditakdirkan seorang penyandang kalah pemilihan, dia dan pengikutnya akan boikot yang menang. Yang menang terpaksa mulakan gerak kerja baru. Sudah tentu keadaan ini akan menyukarkan parti.

Perkongsian daripada Dr Azman Ibrahim, TYDP PAS Setiu mungkin boleh menggambarkan keadaan ini. Seorang doktor di Manir sanggup meminjam ratusan ribu dengan Ah Long bagi menghadapi pemilihan Umno yang lepas. Rancang beliau, jika berjaya menang, cerah masa depan untuk menjadi calon dan jika menang, bolehlah membayar hutang Ah Long itu. Tetapi beliau ditakdir kalah, menyebabkan beliau terpaksa lari dari kampung meninggalkan rumah dan kliniknya kerana diburu Ah Long.

Namun PAS tetap menjalankan pemilihan dengan tenang dan harmoni, lebih harmoni dari beberapa tahun sebelum ini. Tiada isu-isu panas. Tiada kedengaran debat, salah laku dalaman, provokasi, pendedahan senarai pencalonan, kempen tidak sihat dan sebagainya. Bagi PAS, tiada apapun dalam pemilihan kali ini. Yang menang atau kalah tiada apa-apa kaitan dengan PRU. Jika tidak kerana tuntutan ROS, mungkin sekali jawatan parti tidak akan bertukar melainkan jika penyandang sakit atau mati sahaja! – HARAKAHDAILY 27/3/2017