Rumah mampu milik atau sekadar mampu dilihat?

DISEBABKAN harga rumah yang semakin meningkat, pelbagai pihak termasuklah pihak kerajaan dan swasta tampil menawarkan skim perumahan mampu milik kepada rakyat.

Advertisement

Misalnya skim perumahan Rumah Mampu Milik (RMM), PR1MA, MYHOME, PPA1M, Rumah SelangorKu dan banyak lagi. Yang terkini Skim Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) di bawah Yayasan Sultan Ibrahim (YSI).

Skim-skim perumahan mampu milik ini diwujudkan tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memberi peluang kepada rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri.

Walau bagaimanapun daripada pemerhatian saya terdapat pelbagai cabaran yang bakal dihadapi dalam pelaksanaan skim perumahan ini.

Di antaranya termasuklah:

1.Cabaran dari sudut dana yang besar diperlukan untuk membolehkan perumahan sedemikian didirikan.

Akibat kos tanah dan kos pembinaan yang semakin meningkat, pihak-pihak yang ingin melaksanakan sistem perumahan ini mestilah mempunyai satu dana yang besar dan konsisten.

Dan matlamat keuntungan bukanlah menjadi pertimbangan utama tetapi sebaliknya lebih kepada tanggungjawab sosial kepada rakyat yang memerlukan.

2.Cabaran dari sudut memilih pembeli-pembeli yang betul betul berkelayakan.

Kelayakan di sini bukan sekadar layak untuk ditawarkan membeli rumah tersebut kerana tergolong dalam golongan yang berpendapatan sederhana, tetapi juga kelayakan untuk mendapatkan pinjaman bank untuk pembelian rumah tersebut.

Di sinilah cabaran yang dihadapi oleh kebanyakan pembeli dimana walaupun mereka layak untuk membeli rumah tersebut tetapi tidak layak untuk membuat pinjaman untuk membeli rumah tersebut.

3.Cabaran dari segi mentaliti dan persediaan untuk membeli rumah.

Daripada pemerhatian saya, kebanyakan pihak yang ditawarkan rumah mampu milik ini memanglah termasuk dalam kategori mereka yang memerlukan rumah. Cuma mereka masih belum bersedia untuk membeli rumah.

Ini mungkin disebabkan oleh kerisauan yang melampau yang dihadapi oleh mereka untuk membeli rumah atau tiadanya ilmu asas dan persediaan untuk membeli rumah.

Akhirnya golongan ini menjual atas angin pula rumah yang  ditawarkan kepada mereka kepada pihak lain kerena tidak yakin mampu untuk memiliki rumah tersebut atau sebab hendak duit tunai segera.

4.Cabaran pihak bank / pembiaya yang ingin memberikan pinjaman.

Sebagai pihak yang berorientasikan keuntungan, sudah pasti pihak bank juga mengharapkan keuntungan daripada tawaran pembiayaan yang diberikan kepada pembeli.

Dengan harga rumah yang rendah di samping pula dengan target pembeli di kalangan golongan berpendapatan sederhana yang kebanyakannya bekerja sendiri dan berpendapatan  tidak tetap, ini satu cabaran besar kepada pihak bank untuk menawarkan pembiayaan.

Bukan sahaja bank terpaksa berhadapan dengan kesukaran untuk meluluskan pembiayaan tetapi juga mungkin berhadapan risiko untuk memastikan bayaran ansuran dijelaskan oleh pembeli.

5.Cabaran dari segi syarat-syarat pemilihan pembeli.

Walaupun matlamat asal pembinaan rumah mampu milik ini adalah untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah, tetapi daripada pemerhatian saya, apabila dibuat saringan demi saringan dan tapisan demi tapisan, mereka yang mampu beli adalah di kalangan mereka yang bekerja tetap seperti kakitangan kerajaan berstatus jawatan tetap, golongan pelabur hartanah dan “orang dalam” sendiri.

Akhirnya golongan yang selayaknya sebagaimana yang disasarkan, tetap tidak layak memiliki rumah tersebut.

Tidak layak bukan disebabkan mereka itu “orang senang”, tetapi sistem dan cara pemilihan itu sendiri yang “tidak senang” untuk dilepasi.

Maka akhirnya jadilah projek perumahan yang diwarwarkan untuk rakyat itu sekadar “alat politik” untuk segelintir golongan tertentu dan tidak mencapai matlamat yang disasarkan.

Bahkan rumah yang banyak didirikan hanya sekadar menjadi tatapan kepada golongan rakyat bawahan dan pertengahan sahaja.

Rumah didirikan untuk mereka, tetapi mereka hanya mampu melihatnya sahaja.

Insya-Allah dalam tulisan yang akan datang saya dan HartaGuam akan senaraikan beberapa cadangan dan solusi yang mungkin boleh sama-sama kita praktiskan untuk menghadapi cabaran-cabaran yang disebutkan di atas.

Moga-moga usaha pihak-pihak yang terbabit mewujudkan skim perumahan mampu milik ini dapat membuahkan hasil yang diharap-harapkan. – HARAKAHDAILY 27/3/2017

Penulis ialah Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)