Laman Sejahtera sempena GU Kelantan 2017

BEBERAPA perkhidmatan percuma khususnya berkaitan kesihatan dijangka menjadi  antara tarikan Laman Sejahtera sempena Minggu Gerakan Usahawan Kelantan (GU Kelantan 2017).

Advertisement

Program itu akan dibuka pada 30 Mac hingga 1 April 2017 di perkarangan Medan Usahawan Kota Bharu di sini.

Laman Sejahtera yang diaktifkan oleh beberapa badan bukan kerajaan yang bernaung di bawah NGO Kelantan (KNK) adalah di bawah Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Negeri Kelantan.

MGU 2017 itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Kaum dan Pembangunan Usahawan Negeri berlangsung di Pasar Seni Kota Bharu Bazar Tok Guru, Kelantan Trade Centre dan perkarangan Stadium Sultan Mohamad IV.

Pelbagai acara menarik disediakan termasuk Kelantan Festival Food Halal (Kelchef) dan Karnival Online Anak Muda.

Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Negeri Kelantan, Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata demikian selepas memberi taklimat kepada petugas Laman Sejahtera di sebuah taman dekat sini semalam.

Katanya, Minggu Gerakan Usahawan Kelantan 2017 yang dirasmikan oleh Datuk Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan pada sedang 23 Mac lalu berlangsung sehingga 1 April.

“Pelbagai aktiviti menarik di laman ini seperti khidmat rawatan percuma, perubatan alternatif, urutan dan khidmat guaman akan dibuka sepanjang Laman Sejahtera ini berlangsung.

“Manakala tarikan kanak-kanak juga turut diadakan dalam permainan pendidikan kesihatan bersama ikon badut di samping mereka berpeluang mendapat hadiah yang akan disediakan,” ujarnya.

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kota Bharu juga akan turut mempamer produk mereka selain lain-lain pameran, jualan amal dan sebagainya.

Ruangan urutan refleksi kaki disediakan oleh Majlis Permaufakatan OKU Kelantan dengan caj perkhidmatan berpatutan dan rawatan alternatif secara percuma dikendali oleh Yayasan Amanah Tok Kenali. – HARAKAHDAILY 28/3/2017